PADANG BESAR: Air sungai yang jernih bertukar kehitaman dan ratusan ikan ditemukan mati terapung. Itu situasi berlaku di Sungai Ngulang di sini, sejak semalam.
Situasi tersebut mula disedari penduduk di kawasan tersebut sejak awal pagi dan menjelang petang, ikan semakin banyak terapung di permukaan sungai berkenaan sehingga menimbulkan kegusaran mereka yang sering melakukan aktiviti memancing di situ.
Dakwa penduduk, masalah tersebut dikatakan berpunca daripada pelepasan sisa loji pengolahan efluen dari kilang di Bukit Keteri yang jaraknya sekitar lima kilometer dari sungai berkenaan.
Masalah air di Sungai Ngulang yang bertukar kehitaman pernah dilaporkan tahun lalu dan sejak itu situasi tersebut tidak lagi berulang sehinggalah kembali berlaku semalam.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, seorang penduduk, Mohd. Azrif Md. Amin, 29, berkata, sejak awal pagi kelihatan ikan mati terapung dan keadaan bertambah buruk selepas itu, manakala air pula berubah menjadi hitam.
Mohd. Azrif yang juga pengusaha inap desa, Riverview Homestay Perlis yang terletak berhampiran sungai itu berkata, kebanyakan ikan yang ditemukan mati terapung itu adalah seperti lampam dan pelbagai lagi jenis ikan air tawar yang lain.
Dia percaya kematian ratusan ikan berkenaan adalah berpunca daripada bahan pencemaran dari kilang berhampiran.
“Sebelum ini pernah jadi (air sungai bertukar hitam) namun sudah lama masalah tersebut tidak berulang sehinggalah kembali terjadi semalam. Sebelum ini, ada ikan mati, tetapi tidaklah seteruk sekarang. Kalau kita lihat sangat banyak ikan yang mati khususnya ikan lampam yang saiznya agak besar.
“Sungai ini menjadi tumpuan kerana kejernihan airnya selain menjadi lokasi aktiviti memancing, berkayak dan mandi-manda. Melihat kepada situasi ini, ia sangat menyedihkan,” katanya.
Tambahnya, pengunjung termasuk dari luar negeri ini yang menginap di inap desanya sering kali melakukan aktiviti seperti berkayak dan mandi manda kawasan sungai tersebut.
Namun katanya, melihat kepada situasi tersebut secara tidak langsung turut memberi imej tidak baik kepada aktiviti pelancongan di situ.
Katanya, selain menjadi lokasi memancing, sungai tersebut juga menjadi sumber saliran kepada aktiviti penanaman padi.
“Kami berharap pihak bertanggungjawab segera mengambil tindakan bagi mengatasi masalah ini termasuk mengambil tindakan terhadap sebarang aktiviti pencemaran.
“Sungai ini sangat jernih memandangkan airnya berpunca dari bawah tanah dan sangat sayang jika keindahan tersebut tercemar,” katanya.
Tahun lalu, media melaporkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri bertindak kurang dari 24 jam mengambil dua sampel air di Sungai Ngulang, selepas menerima aduan orang ramai mengenai air sungai itu menjadi kehitaman.
Difahamkan pencemaran tersebut bermula dari sumber perparitan yang memasuki Sungai Jernih, hingga ke Sungai Panggas, sebelum mencemari Sungai Ngulang. – UTUSAN