PUTRAJAYA: Amalan pemberian duit raya ketika sambutan Aidilfitri sejak sekian lama adalah sunat dan tiada kaitan dengan pemberian angpau pada sambutan Tahun Baharu Cina.
Demikian pandangan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi pencerahan terkini dalam portal Maktabah al-Bakri dan laman sosial beliau sendiri.
“Sumbangan kepada kanak-kanak, kaum keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga adalah sunat kerana termasuk dalam amalan sedekah atau hadiah yang dianjurkan Islam,” katanya.
Tokoh agama itu juga memberi dalil berdasarkan hadis sahih riwayat Bukhari yang pernah menunjukkan Rasulullah SAW menyarankan wanita agar bersedekah pada Hari Raya Puasa.
Cadangan itu menyaksikan mereka menyedekahkan gelang dan pelbagai barang kemas yang dipungut Bilal Rabah sebelum diagihkan kepada golongan fakir miskin dan umat Islam lain.
Justeru kata beliau, amalan duit raya ada asas yang kukuh dalam Islam kerana ia bertitik tolak daripada amalan bersedekah yang sangat dianjurkan malah hukumnya pula adalah sunat.
Berhubung isu penggunaan sampul duit yang didakwa kononnya tasyabbuh atau menyerupai unsur angpau dalam tradisi kaum Cina, Zulkifli melihat kedua-dua amalan itu tiada kaitan.
Bahkan tegasnya, berdasarkan pandangan Imam al-Syafie, perkara yang langsung tidak disebutkan dalilnya adalah halal sehinggalah ada dalil bagi menunjukkan jelas isu pengharaman.
Tambahan pula, ia merupakan budaya terpuji yang baik di sisi agama selaras sabda Nabi Muhammad SAW menyarankan saling memberi hadiah supaya ada terbit sifat saling mengasihi.
Jawapan itu turut konsisten dengan penjelasan beliau yang pernah disiarkan Pejabat Mufti itu melalui slot Al-Kafi lil Al-Fatawi pada 2017 bagi merujuk kemusykilan perihal isu berkenaan.
Bagaimanapun, beliau memberi saranan agar amalan pemberian duit raya tidak dilakukan secara takalluf atau memaksa diri terutama melibatkan amaun yang besar di luar kemampuan.
Pada masa sama, golongan yang menerimanya perlulah bersyukur dengan kadar diterima malah mendoakan kesejahteraan si pemberi walaupun sedikit dan bukan dihina atau diungkit.
Duit raya itu juga sepatutnya diutamakan kepada kelompok asnaf fakir, miskin dan yang lebih memerlukan kerana mereka turut dianggap penerima layak untuk sedekah wajib iaitu zakat. – UTUSAN