Sultan Kedah perkenan pelantikan semula 10 Exco

Sultan Kedah perkenan pelantikan semula 10 Exco

SURAYA Yaacob mengangkat sumpah bagi pelantikan Exco Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah hari ini berkenan melantik semula kesemua 10 barisan Exco Kedah bagi tempoh dua tahun lagi.

Majlis mengangkat sumpah bagi pelantikan Exco Kedah itu berlangsung di hadapan baginda di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit, di sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut hadir ke majlis berkenaan yang bermula pukul 10.30 pagi. 

“Selain dikekalkan jawatan sebagai Exco Kedah, kesemua mereka juga dipertanggungjawabkan dengan portfolio yang sama dipegang sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau, Muhammad Sanusi kekal memegang portfolio Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Kewangan, Majlis Ekonomi Kedah dan Syarikat berkaitan Kerajaan Negeri.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail kekal sebagai Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi.

Tambahnya, selain itu, ADUN Tokai, Datuk Dr Mohd. Hayati Othman dilantik semula sebagai Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin memegang portfolio Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India.

 

“Portfolio Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga kekal disandang ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob, manakala ADUN Merbau Pulas, Datuk Siti Ashah Ghazali masih menyandang Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan.

“ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad kekal sebagai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan dan ADUN Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim memegang portfolio Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” jelasnya.

Katanya, portfolio Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia ia kekal disandang ADUN Kupang, Datuk Najmi Ahmad, manakala ADUN Kuah, Mohd. Firdaus Ahmad masih mengalas tanggungjawab sebagai Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Selain itu, ADUN Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee turut dilantik semula sebagai Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam,” ujarnya.- UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya