Sukarelawan persatuan OKU ditipu beli MPV di Facebook

Sukarelawan persatuan OKU ditipu beli MPV di Facebook

ELIAS OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Seorang sukarelawan persatuan orang kurang upaya (OKU) mengalami kerugian sebanyak RM100,000 selepas ditipu dalam urusan pembelian sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Facebook, dua bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa yang berasal dari daerah ini melayari Facebook sebelum melihat akaun Facebook menjual pelbagai jenis kenderaan import terpakai. 

“Pengadu berminat membeli sebuah MPV jenis Toyota Voxy untuk kegunaan persatuan OKU seterusnya mereka berurusan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, mangsa kemudian diminta membuat bayaran dan atas dasar percaya dan kemahuan melampau, dia membuat pemindahan wang secara berperingkat ke akaun bank diberikan suspek pada April hingga Mei berjumlah RM100,000.

“Penipuan itu mula disedari setelah suspek yang berjanji menyerahkan kenderaan tersebut gagal berbuat demikian apabila mendiamkan diri dan gagal dihubungi,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar menyemak kesahihan maklumat berkaitan apa sahaja pembelian barangan yang diiklankan melalui laman media sosial sebelum membuat transaksi kemasukan wang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN