IPOH: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan mendera dua beradik di sebuah rumah di Desa Pengkalan, Lahat, dua minggu lalu.
Tertuduh, Zainuddin Noh, 40, dan isteri, Norhazleyana Azreen Abdul Hamid, 40, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap merekayang dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang juga anak saudara kepada pasangan itu.
Mengikut pertuduhan, suami isteri itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Aisha Farhana Muhammad Khirul Azral, 8, di sebuah rumah di Jalan Desa Pengkalan Bandaraya, Desa Pengkalan di Lahat antara pukul 10 malam, 13 Mei 2022 hingga 7 pagi, 14 Mei 2022.
Pertuduhandikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mendera adik lelaki Aisha Farhana yang berusia tujuh tahun.
Pasangan suami isteri yang merupakan peniaga membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di lokasi sama pada pukul 1.30 tengah hari, 13 Mei 2022.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan kedua-dua kes disebut semula pada 30 Jun ini.
Menerusi laporan media pada 15 Mei lalu, perbuatan pasangan suami isteri itu terbongkar berikutan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dengan kesan kecederaan disyaki didera.
Siasatan polis kemudian mendapati adik lelaki mangsa turut mengalami kecederaan di badan yang dipercayai akibat didera suspek. – UTUSAN