PETALING JAYA: Barisan Exco Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini berada dalam prestasi terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, barisan Exco Srikandi masing-masing sedang mengorak langkah dan mengatur strategi untuk menguat dan memantapkan lagi perancangan sedia ada.
“Saya sarankan kepemimpinan Srikandi Malaysia termasuk di peringkat negeri, bahagian dan cawangan memiliki semangat solidariti serta jatidiri yang kental dalam memantapkan parti untuk menghadapi PRU-15.
“Inilah formula yang cukup penting untuk pasukan Bersatu atau Perikatan Nasional dalam perjuangan politik yang semakin mencabar ketika ini.
“Saya turut menyaran memperkasakan program-program mendekati rakyat demi menjamin harapan mereka. Pelbagai program telah dilaksanakan dan kita akan melakukan proses ‘tambah nilai’ untuk memperkasakannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Rina berkata demikian selepas mempengerusikan masyuarat Exco Srikandi Bersatu Malaysia, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, banyak perkara dan isu yang dibangkit, dibincangkan dan diperhalusi dalam pertemuan itu demi memperkukuh jentera parti untuk mengharungi cabaran PRU-15 di peringkat akar umbi. – UTUSAN