Sorok, mogok punca ayam kurang menjelang raya

Sorok, mogok punca ayam kurang menjelang raya

KEKURANGAN ayam di pasaran dikatakan berpunca daripada pemain atasan industri menyorok belakan dan mengisytihar mogok kerana tidak berpuas hati dengan harga siling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekurangan bekalan ayam di beberapa negeri terutama Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sejak minggu lalu disyaki berpunca daripada `pemain besar’ atau kartel industri ternakan yang mencatut serta menyorok bekalan bagi meraih harga jualan lebih mahal.

Malah, didakwa terdapat segelintir pemain industri itu sedang mogok dengan mengurangkan bekalan ayam kerana tidak berpuas hati dengan langkah kerajaan menetapkan harga siling RM8.90 sekilogram yang dianggap rendah bagi pihak mereka.

Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng berkata, di peringkat penternak, pihaknya tidak melakukan kegiatan menyorok bekalan ayam kerana tindakan itu mengakibatkan mereka menanggung kerugian.

“Kalau kita mahu sorok ayam, bolehkah kita menyorokkannya? Sebab jika sorok dan apabila hari ayam itu besar, kalau ia terlalu besar, orang tak mahu sebab saiz sekarang (sudah ideal). Kalau saya simpan ayam saya dan setiap hari ia besar, sekurang-kurangnya 100 sehingga 150 gram sehari.

“Masalah kalau saya sorok ayam hari ini, kemudian besok selepas hari raya, empat hari tempohnya. Jadi ayam saya keluar selepas raya, tiga kilogram lebih. Siapa mahu ayam saya?” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Akhbar ini melaporkan bekalan ayam di Pulau Pinang dan Selangor mengalami kekurangan sehingga menyusahkan pengguna yang mahu menyediakan juadah menjelang Aidilfitri.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Sesi Pasar Borong Harian Selayang, Mohammad Pandu Insani Yahya berkata, berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya, kegiatan itu didakwa berpunca di peringkat huluan industri.

Menurut beliau, kesan tindakan beberapa syarikat besar yang menguasai sektor huluan industri ternakan itu, mengakibatkan berlaku kekurangan stok sehingga menyukarkan peruncit, lebih-lebih lagi di musim perayaan.

“Ada maklumat, pemain besar industri sedang stand by bekalan di musim perayaan. Maksudnya, mereka menyorokkan bekalan supaya sewaktu musim Aidilfitri nanti, harga boleh dinaikkan dan mereka dapat lebih keuntungan.

“Hal ini menjejaskan peruncit di peringkat bawahan industri, terutama yang berniaga di pasar-pasar harian. Bekalan memang kurang sekarang ini,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, ada pihak lain pula mendakwa kekurangan bekalan ayam di pasaran sekarang akibat pemain atasan industri mengisytihar mogok dan ingin memeras ugut kerajaan.

“Ada ura-ura mengatakan mereka mogok, kerana soal harga siling. Mereka difahamkan tak puas hati kerana kerajaan tetapkan RM8.90 sekilogram, yang disifatkan rendah. Oleh itu mereka mogok, mungkin bertujuan memeras kerajaan,” katanya.

Setiausaha Agung, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Shahrin Darus berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan tersebut dari semasa ke semasa, dan menggesa kerajaan bertindak jika benar terdapat aduan sebegitu.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS), Mohd. Muzamri Soib pula memberitahu, bekalan ayam oleh penternak yang masih beroperasi tetap berjalan seperti biasa walaupun ketika musim perayaan.

Menurut beliau, bekalan ayam daripada penternak dalam kalangan ahli PPANS di negeri ini adalah kira-kira 3.8 juta ekor bagi setiap musim selama 30 hingga 40 hari dan jumlah tersebut hanya sekitar 10 ke 15 peratus daripada keperluan bekalan sebanyak 1 juta pengguna setiap hari. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya