Sorok dadah dalam alat pembesar suara dikesan

Sorok dadah dalam alat pembesar suara dikesan

JASMIN Husin (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan di Tawau baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Taktik menyembunyikan dadah dalam alat pembesar suara bagi mengaburi mata pihak berkuasa berjaya dikesan dengan tertangkapnya seorang lelaki bersama dadah seberat tujuh kilogram.

Rampasan dadah yang bernilai RM258,948 itu dilakukan di dua lokasi berasingan pada 25 Mei lalu, kira-kira pukul 2.10 petang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jasmin Husin berkata, tangkapan terhadap lelaki tempatan berusia 20 tahun itu membawa kepada rampasan dadah jenis syabu di dua premis berasingan di daerah ini.

“Operasi pertama dilakukan di sebuah premis di Jalan Stephen Tan yang membawa kepada rampasan dua bungkus dadah yang diletakkan dalam plastik teh Cina dengan tulisan ‘Guanyinwang’ dan disembunyikan dalam alat pembesar suara.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bungkusan tersebut mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Jasmin berkata, hasil soal siasat yang dilakukan terhadap suspek membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah kedai di Batu 3, Jalan Apas pada pukul 3.40 petang hari yang sama.

Dalam serbuan kedua, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berjaya merampas lima bungkusan yang disyaki dadah jenis syabu.

Kesemua rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Menurut beliau, sindiket pengedaran dadah yang tumpas itu dipercayai mempunyai rantaian dengan satu lagi sindiket pengedaran dadah. Justeru, siasatan mengenai kes itu sedang dilakukan.

Jelas beliau, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 1 Jun dan suspek mempunyai dua kesalahan jenayah lampau namun, bukan berkaitan dengan kes dadah. Pemeriksaan lanjut mendapati, suspek tidak positif dadah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya