KUALA LUMPUR: Agenda pengantarabangsaan bahasa Melayu bukan sekadar untuk orang Melayu di Semenanjung, sebaliknya perlu melibatkan orang-orang Melayu di Sabah dan Sarawak.
Sarjana Sains Politik dan Penyandang Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr Jayum Jawan berkata, perkara itu penting kerana sehingga ke hari ini agenda bahasa Melayu yang digerakkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya melibatkan orang-orang Melayu di Semenanjung.
“Fungsi DBP adalah memartabatkan bahasa Melayu, tetapi cuba tengok DBP…semuanya orang Melayu, pengelolanya orang Melayu. Mana orang Iban, Kelabit dan Kadazan? Tidak ada, jadi orang Melayu seolah cuba nak push agenda Melayu, sebab itu orang bukan Melayu tidak senang menerima bahasa Melayu.
“Kenapa tidak dijemput Kadazan-Dusun dan Orang Asli sama-sama duduk supaya mereka merasa memiliki bahasa Melayu juga, barulah tidak perlu meyakinkan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai panel sidang 10: Pengembangan Bahasa Melayu Melalui Sains, Teknologi, Multimedia dan Komunikasi sempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.
Katanya lagi, orang Sabah dan Sarawak tidak pernah meminggirkan bahasa Melayu walaupun mereka ada pilihan untuk menggunakan bahasa masing-masing.
“Siapa yang meminggirkan bahasa Melayu? Bukan orang Iban, mereka sentiasa menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu walaupun tidak ada latihan bahasa Melayu yang formal.
“Kita lupa Malaysia ada juga Sabah dan Sarawak seolahnya Kadazan dan Iban tidak penting dalam kerangka ini,” katanya.
Beliau juga kecewa apabila profesor berbangsa Melayu kebanyakannya gemar menggunakan bahasa Inggeris.
“Sebanyak 182 daripada 183 buah ucapan yang diberikan profesor Melayu, daripada bidang Sains dan Teknologi disampaikan dalam bahasa Inggeris, 99 peratus.
“Kita mengatakan bahasa Melayu ini bahasa ilmu, habis profesor sendiri tidak membantu dalam hal ini. Kalau birokrasi didominasi satu kaum, minda tidak terbuka dan Malaysia tidak akan ke mana,” katanya. – UTUSAN