BAGAN DATUK: Seperti orang lain, penyanyi era 1980-an, Shidee mengakui dia dan ahli keluarganya kelam kabut pulang ke kampungnya di sini untuk menyambut 1 Syawal selepas diumumkan lebih awal berbanding jangkaan, Isnin lalu.
Shidee atau nama sebenarnya Rashid Abdul Wahab, 62, berkata, dia balik kampung pada malam raya walaupun dalam keadaan tergesa-gesa kerana menyangka hari raya disambut pada Selasa.
Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Sayang Semuanya Sudah Terlambat, perkara itu bagaimanapun bukan luar biasa kerana sebelum ini penentuan hari raya berdasarkan anak bulan.
Malah katanya, penentuan hari raya berdasarkan anak bulan menunjukkan keistimewaan dalam agama Islam.
“Menyambut hari raya lebih awal pernah berlaku sebelum ini malah pada 80-an, Perak pernah berhari raya lebih awal berbanding negeri-negeri lain. Semua ini ada kaitan dengan agama kerana hari kebesaran umat Islam ini ditetapkan dengan melihat anak bulan, inilah keistimewaan Islam.
“Saya akur dengan pengumuman raya lebih awal walaupun agak kelam kabut kerana tak sangka. Namun dalam keadaan apa pun, saya dah ahli keluarga tetap balik kampung pada malam raya.
“Pengajaran daripada semua ini ialah kita harus bersedia, kena sedia awal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengenai sambutan kali ini, Shidee berkata, hari raya tetap meriah namun beliau agak sedih kerana Aidilfitri tahun ini tanpa tiga adik-beradiknya yang meninggal dunia tahun lalu dan awal tahun ini setelah mereka positif Covid-19.
Dua adiknya, Zulkifli dan Nazri, masing-masing meninggal dunia pada 31 Julai dan 5 Ogos tahun lalu manakala abangnya, R Azmi pula pergi buat selama-lamanya pada 6 Januari lalu.
“Saya mempunyai tujuh beradik iaitu lima lelaki dan dua perempuan yang tinggal di Lembah Klang. Hanya arwah abang, R Azmi yang tinggal di kampung di Sungai Lanchang di sini.
“Kehilangan tiga beradik sekali gus akibat Covid-19 sangat menyedihkan dan menyentuh hati. Saya masih ingat mereka ada memberitahu hasrat untuk berkumpul beramai-ramai di kampung masa puasa dan hari raya tahun ini.
“Tetapi nampaknya hasrat mereka itu hanya tinggal kenangan pada hari raya kali ini kerana mereka pergi dahulu meninggalkan kami,” katanya. – UTUSAN