ALOR SETAR: Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Hashim Jahaya meninggal dunia di kediamannya di Taman Suria dekat Pantai Johor di sini, hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau dimaklumkan Allahyarham yang berusia 60 tahun meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 pagi.
“Beliau sebelum ini memang berdepan masalah buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis.
“Dikhabarkan selepas pulang menjalani rawatan dialisis semalam, beliau berada dalam keadaan yang letih dan berehat. Selepas itu kira-kira pukul 2.30 pagi, beliau disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Allahyarham yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah turut memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah.
Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, pihaknya berasa sangat kehilangan dengan pemergian Allahyarham yang disifatkan meninggalkan jasa cukup besar kepada parti terutama di Kedah.
“Pastinya UMNO negeri dan UMNO Kuala Kedah merasai kehilangan kepemimpinan beliau. Di pihak kepemimpinan UMNO negeri, kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya.
“Kali terakhir saya bertemunya ketika UMNO Kuala Kedah mengadakan majlis berbuka puasa beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri,” ujarnya. – UTUSAN