Sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dibuka hari ini tetapi lengang

Sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dibuka hari ini tetapi lengang

ENG Seng (berdiri, kiri) semasa semasa urusan semakan pas sempadan sebelum ke Golok, Thailand di ICQS, Rantau Panjang, Kelantan hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Tiga pintu sempadan darat Malaysia-Thailand di Kelantan iaitu Rantau Panjang, di sini, Bukit Bunga di Tanah Merah dan Pengkalan Kubor, Tumpat dibuka secara rasmi bermula hari ini.

Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini lengang kerana rata-rata orang ramai, termasuk penduduk setempat tidak mengetahui maklumat tersebut.

Malah, jumlah orang awam yang berkunjung ke ICQS tersebut hari ini untuk pelbagai urusan terutama membuat pas sempadan untuk ke negara jiran boleh dikira dengan jari.

Seorang peniaga, Tang Eng Seng, 26, berkata, sebaik sahaja mengetahui berita pembukaan pintu sempadan darat itu, dia terus ke ICQS Rantau Panjang untuk membuat pas sempadan.

Menurutnya, dia tidak menyangka pas sempadan itu dapat disiapkan dalam tempoh singkat tanpa perlu berbaris panjang.

“Saya suka membeli-belah di Golok kerana mempunyai banyak pilihan selain pelbagai makanan yang sedap. Bila sempadan dibuka, saya cukup gembira dengan berita ini. Selepas ini dapat saya membeli belah di sana,” katanya ketika ditemui di ICQS Rantau Panjang, di sini hari ini.

Sementara itu seorang penduduk Sadi’ah Ishak, 45, berkata, dia hanya mengetahui pembukaan sempadan itu selepas diberitahu oleh rakan lalu bergegas ke ICQS Rantau Panjang untuk membuat pas sempadan.

“Walaupun tidak ke Golok (Thailand) hari ini, namun saya mengambil keputusan awal dengan menyiapkan pas terlebih dahulu. Tindakan ini bagi mengelakkan kesesakan semasa membuat pas sempadan nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN