PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji semula sekatan eksport 3.6 juta ayam bulat ke negara seperti Singapura, Vietnam dan Pakistan selepas bekalan dagingnya untuk pasaran tempatan kembali stabil.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, langkah ini bersifat sementara dan akan dikaji sebaik bekalan ayam kembali stabil.
Menurut beliau, pemantauan akan dibuat memandangkan tumbesaran ayam adalah antara 35 hingga 40 hari sebelum ia boleh dijual.
“Ini bagi memastikan keperluan negara boleh dicapai. Selama ini industri ternakan ayam daging dan telur adalah stabil namun ia berdepan kekurangan bekalan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Eksport ayam dan telur ke negara lain dibuat sebelum ini berikutan bekalan dalam negara stabil dan memenuhi 100 peratus tahap sara diri (SSL),” katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MAFI di Wisma Tani, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ronald berkata, tiada keperluan menubuhkan jawatankuasa khas kerana semua aspek membabitkan bekalan ayam tempatan dipantau Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
“Kita pantau dari segi bekalan. Industri ayam dan telur adalah satu industri yang stabil di negara ini cuma dalam keadaan disebabkan beberapa faktor yang dimaklumkan industri, kita berdepan kekurangan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan mulai 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil dengan keutamaan terhadap bekalan rakyat negara ini.- UTUSAN