Sebutan semula inkues 'Baby Syifaa' 29 Jun depan - Utusan Malaysia

Sebutan semula inkues ‘Baby Syifaa’ 29 Jun depan

YUSERI Yusoff (dua dari kiri) bersama peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa dalam prosiding kes inkues menentukan punca kematian bayi perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri di Kompleks Mahkamah Seremban di Seremban 2, Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian seorang bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri atau ‘Baby Syifaa’ ketika di bawah jagaan pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini, Februari lalu ditetapkan semula pada 29 Jun depan di hadapan Mahkamah Koroner.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rushan Lutfi Mohamed menetapkan tarikh sebutan tersebut selepas mahkamah dimaklumkan hakim koroner yang sepatutnya mengendalikan inkues itu bercuti atas masalah kesihatan.

Pada prosiding kes, pegawai pengendali inkues, Badius Zaman Ahmad yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan mencadangkan memanggil lebih kurang 10 saksi dan memerlukan kira-kira tujuh hari untuk mereka memberi keterangan.

Terdahulu, bapa kepada ‘Baby Syifaa’, Yuseri Yusoff, 39, hadir di mahkamah untuk mendengar proses inkues tersebut bersama barisan peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Muhammad Amin Anuar, Musfira Mohd. Fahmi dan Gaithri Thomas.

Muhammad Amin ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihaknya telah menerima senarai 10 saksi yang akan dipanggil dan akan meneliti semula supaya tidak berlaku percanggahan saksi.

“Kami juga ada saksi sendiri termasuk saksi awam dan polis, kami di sini untuk membantu dan ingin mendapat pengadilan untuk Baby Syifaa,” katanya.

Yuseri pula berkata, setelah menunggu lama akhirnya hari ini merupakan hari pertama prosiding inkues kes kematian anaknya itu dan menyerahkan kepada mahkamah menentukan punca sebenar kematian.

Sebelum ini media melaporkan, Nour Rania Asyifaa Yuseri yang berusia setahun tiga bulan ditemukan tidak sedarkan diri pada pukul 3 petang di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini pada 22 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, berdasarkan siasatan awal, sebelum itu mangsa telah diberi susu oleh pengasuh dan dimasukkan ke dalam bilik tidur bersama dua orang kanak-kanak lain pada pukul 12.30 tengah hari.

Nanda berkata, selepas itu pengasuh telah keluar dari bilik pada pukul 2 petang untuk tujuan tugasan lain dan kemudiannya pada 3 petang pengasuh masuk semula ke bilik dan mendapati bayi itu dalam keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.

Pada 30 Mac lalu, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian dan memberi masa dua minggu kepada pihak polis untuk mengemukakan hasil siasatan selanjutnya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, siasatan polis berkaitan kes itu sudah selesai dan kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan arahan dikeluarkan supaya inkues diadakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya