KUALA LUMPUR: Sarawak bakal merasai tahap kelajuan internet rangkaian 5G menerusi satu projek antarabangsa melibatkan sistem kabel internet dasar laut, South East Asia Hainan-Hong Kong Express Cable System (SEA-H2X) sepanjang 5,000 kilometer (km), yang menghubungkan antara Hong Kong, Hainan, Filipina, Thailand, Malaysia Timur (Kuching, Sarawak) dan Singapura yang dijangka digunakan bermula tahun 2024.
Dalam satu kenyataan bertarikh 12 Mei lalu oleh syarikat China, China Mobile International Limited (CMI), projek dasar laut itu dikendalikan secara bersama dengan syarikat-syarikat antarabangsa lain iaitu HMN Technologies Co. Limited (HMN Tech), China Unicom International (CUG), Phillipines Converge ICT Solution dan PPTEL SEA H2X Co. Ltd. yang akan menggunakan sistem pendawaian gentian optik standard tinggi dan berkapasiti 160 Tera Bits Per Second (Tbps).
Projek itu antara lain dengan pilihan untuk memanjangkannya ke Malaysia Barat (Semenanjung), Vietnam, Kemboja, dan Indonesia.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada projek itu dapat dilaksanakan ke Semenanjung memandangkan Kerajaan Persekutuan difahamkan masih belum menyelesaikan dasar kabotajnya sehingga menyebabkan projek kabel dasar laut Apricot sebelum ini terpaksa memintas negara tahun lalu.
Dengan berita gembira untuk rakyat Sarawak itu, pemimpin pembangkang di Sabah, Datuk Darrel Leiking dari Parti Warisan (Warisan) yang juga Ahli Parlimen Penampang menganggapnya sebagai satu lagi kerugian untuk Sabah.
“Rakyat Sarawak mempunyai hak, dan Industri Perkhidmatan Udara serta ketersambungan akan menjadi kecemburuan pada Sabah lebih-lebih lagi Kerajaan Persekutuan Malaysia,” keluhnya di Facebook hari ini.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif CMI, Dr. Li Feng berkata, wakil daripada pengendali projek berkenaan telah melantik syarikat HMN Technologies Co. Limited (HMN Tech) untuk membina kabel berkenaan dengan pembiayaan sepenuhnya yang diyakini akan mempertingkatkan hubungan di rantau Asia.
“Projek ini akan dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penggunaan jalur lebar dan sambungan berkelajuan tinggi antara Hong Kong dan negara-negara Asia Tenggara dengan menyediakan kapasiti yang diperlukan dan persediaan ke arah era 5G.
“Projek ini juga menyediakan rangkaian berkelajuan tinggi, kependaman rendah, kos sambungan data rendah untuk pelanggan di dalam wilayah-wilayah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi anggotanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPTEL, Jonathan Smith berkata, pihaknya teruja mengambil bahagian dalam projek itu dengan pelaburan mereka melibatkan pasangan gentian optik dan menyambungkannya ke Kuching, Sarawak.
“Lokasi strategik kami membolehkan kami menawarkan laluan kependaman rendah baharu antara China dan Jakarta, melalui SEA-H2X dan BaSICS (Sistem Kabel Internet Batam Sarawak), yang juga dijangka siap pada Q1 2022.
“Dengan capaian gentian yang meluas ke seluruh Malaysia dan Indonesia melalui kami rakan kongsi XL, kami menyediakan tulang belakang kepada cita-cita Transformasi Digital 2030 kerajaan Sarawak di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.
Sebelum ini, Malaysia dilaporkan terlepas peluang daripada tersenarai dalam negara-negara terlibat bagi projek dasar laut Apricot sejauh 12,000 kilometer akibat dasar kabotaj yang belum diselesaikan kerajaan.
Projek dasar laut Apricot adalah rancangan Google dan Facebook untuk membina sistem kabel dasar laut menghubungkan Guam, Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Singapura yang dijangka siap pada 2024 bagi membekalkan kapasiti internet yang sangat diperlukan selain meningkatkan keupayaan dan capaian di rantau Asia Pasifik.
Bukan sekali Malaysia terlepas peluang keemasan itu menyorot dua projek terdahulu iaitu jaringan Echo dan Bifrost juga berdepan situasi sama didakwa disebabkan dasar kabotaj yang telah ditarik semula.
Dasar kabotaj pula adalah dasar diperkenalkan kerajaan pada tahun 1980 yang mengehadkan perkhidmatan pengangkutan kargo, penumpang sebarang bentuk pembekalan perkhidmatan perkapalan dan maritim di perairan negara ini merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (200 batu nautika dari garis pangkal pantai sesebuah negara) kepada kapal-kapal pendaftaran Malaysia sahaja.
Kapal-kapal pendaftaran Malaysia perlu memiliki Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang sah untuk beroperasi yang secara lazimnya dikenali sebagai perkhidmatan perkapalan domestik.
Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Kementerian Pengangkutan yang ketika itu diterajui Anthony Loke, kerajaan mengecualikan kapal-kapal bukan Malaysia daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1), sekiranya terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan Malaysia.
Malang sekali, kehadiran Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sebagai Menteri Pengangkutan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada November 2020 menarik semula pengecualian itu menyebabkan Malaysia tercicir daripada disenarai dalam negara-negara terlibat bagi projek dasar laut Apricot sejauh. – UTUSAN