KANGAR: Perwatakan dan keupayaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diperlukan sebagai Timbalan Presiden PKR bagi menyajikan formula menyatupadukan parti.
Bagaimanapun, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pertembungan tersebut serta pemilihan yang akan berlangsung itu tidak akan menjejaskan permuafakatan antara ahli dan barisan kepemimpinan parti.
Katanya, sebarang pertembungan antara calon bertanding tidak akan menjadi kekangan kepada parti yang sentiasa mengutamakan semangat kekeluargaan.
“Kita yakin dalam kalangan yang terbaik akan menang dan pihak tewas pula akan diberi fungsi bagi memanfaatkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
“Bila-bila saya datang sini bawa tema kita semua Keadilan, pada pandangan saya dan semua di sini ketika ini, kita memerlukan watak seperti Saifuddin kerana ia mengujakan dan menyajikan satu formula untuk satukan semua.
“Akhirnya apa yang pasti kita mahukan satu permuafakatan kukuh dalam kalangan anggota dan pimpinan bagi mengumpul kekuatan berdepan PRU15,” katanya ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama anggota PKR Perlis di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akim; Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan ADUN Kuala Perlis, Nor Azam Karap.
Tambah Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor, meskipun proses pemilihan PKR sebelum ini berlangsung penuh cabaran, namun majoriti ahli masih bersama dengan perjuangan parti.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, PKR tidak boleh bertanding secara bersendirian bagi meraih kemenangan dalam PRU15.
“Apa yang saya sebutkan ini adalah berdasarkan dua kajian lapangan sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Jika kita tidak dapat kumpulkan kekuatan dan terpisah, parti akan hilang dukungan dan sokongan untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya nanti,” katanya.
Mengulas mengenai Muafakat Nasional (MN) di Selangor, Amirudin berkata, Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai kekuatan dalam PRU15 meskipun UMNO dan Pas bergabung di negeri itu.
Namun katanya, PH juga tidak boleh terlalu selesa sebaliknya harus terus berusaha dalam mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
“Kita juga turut mendapat sokongan rakyat dan beberapa parti lain di Selangor yang ingin bersama dalam PRU15 nanti. Namun saya perlu merujuk dahulu kepada pimpinan PH untuk melihat bagaimana kita harus susun strategi dan formula kemenangan,” katanya. – UTUSAN