RUU Profesion Pekerja Sosial dibentang tahun ini - Utusan Malaysia

RUU Profesion Pekerja Sosial dibentang tahun ini

RINA Mohd. Harun (kanan) menyampaikan surat kelulusan kepada penerima bantuan JKM kepada Theanmoli Ramachandran dalam satu programnya di Kampung Lee Chein Cheng, Dengkil, Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Pekerja Sosial yang kini di peringkat akhir penggubalan dan sedang dibuat pemurnian semula Jabatan Peguam Negara (AGC), dijangka dibentangkan ke Parlimen untuk bacaan kali pertama pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, proses penggubalan sudah dijalankan sejak sekian lama sekali gus jangkaan akta tersebut dapat dilaksanakan sama ada tahun ini atau tahun depan.

“Ia sedang digubal dan dalam proses perbincangan dibuat dengan AGC. Saya berpendapat dalam tahun atau tahun depan (dikuatkuasakan) dan proses penggubalan yang dibuat ini bukan baru mula.

“Proses ini sedang dijalankan sudah dua tahun untuk kita dapat membentangkan RUU Profesion Pekerja Sosial,” katanya ketika ditemui pada ziarah kasih dan penyampaian surat kelulusan bantuan kepada seorang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, RUU tersebut adalah satu keperluan dalam mempertingkatkan profesion kakitangan JKM supaya tidak hanya fokus membantu isu sosial.

“Kita nak supaya penerima bantuan ini memerlukan kewangan tetapi adakah sudah cukup dan dia ada anak.

“Bagaimana keadaan anak dia di sekolah. Bukannya apabila orang sakit, ramai yang datang menderma dan lepas itu duit habis. Bukan sekadar itu kerana dia ada anak sekolah dan bagaimana untuk teruskan kehidupan. Jadi kita tengah gubal RUU ini supaya dapat diiktiraf dan diterima di Malaysia,” jelasnya.

RUU Profesion Pekerja Sosial digubal bertujuan untuk mengiktiraf profesion kerja sosial menerusi penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial yang berfungsi untuk mengawal selia profesion kerja sosial melalui pendaftaran dan perakuan amalan pekerja sosial berdaftar, menetapkan piawaian praktis dan pendidikan kerja sosial, menggalakkan pembangunan profesional serta meningkatkan imej profesion kerja sosial di Malaysia.

Berhubung ziarah kasih hari ini, Rina menyampaikan surat kelulusan bantuan pesakit terlantar sebanyak RM500 kepada R. Theanmoli, 40, yang juga penerima bantuan JKM mempunyai dua anak.

“Apa yang penting keadaan anaknya dan JKM akan memantau selain memohon pihak sekolah melihat keadaan anak sulungnya. JKM bukan hanya sekadar memberi kewangan tiap bulan tetapi membantu keluarga secara holistik,” jelasnya.

Sementara itu, Theanmoli turut mengucapkan penghargaan terima kasih atas bantuan yang diterima sekali gus mengurangkan beban yang ditanggung.

Pada 27 April lalu, akhbar melaporkan, seorang wanita berdepan ujian berganda apabila bukan sahaja tidak boleh bekerja kerana masalah obesiti dan asma, malah terpaksa mengharap ihsan rakan untuk me­nyara dua anaknya yang masih bersekolah.

Theanmoli yang juga bekas pekerja pembersihan hanya bergantung kepada bantuan bulanan JKM sebanyak RM350 sebulan kerana tidak dapat mencari rezeki di­sebabkan penyakit dialaminya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya