Rosmah gagal batal kes rasuah solar, singkir Gopal

Rosmah gagal batal kes rasuah solar, singkir Gopal

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini gagal dalam permohonan membatalkan pertuduhan kes rasuah solar dan menyingkirkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes berkenaan.

Perkara itu diputuskan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah setelah mendengar hujah daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Menurut penghakimannya, Hakim Mohd. Zawawi berkata, hanya mahkamah sivil yang mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk memberikan perintah berbentuk deklarasi sebagai mana diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

“Harus diingat bahawa Kanun Tatacara Jenayah adalah undang-undang yang lengkap dan komprehensif berkaitan dengan prosedur dalam prosiding di mahkamah jenayah.

“Oleh itu, persoalan bahawa mahkamah jenayah mempunyai kuasa untuk memberikan pelepasan itu tidak timbul sama sekali. Maka, rayuan ini ditolak,” katanya ketika membaca penghakiman ringkasnya. 

Pada 24 September 2021, Rosmah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya membabitkan projek solar hibrid, membatalkan pelantikan Sri Ram dan menangguhkan perbicaraan. 

Kes rasuah solar solar itu akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Julai.

Namun, Mahkamah Rayuan pada 6 Disember 2021 menolak tersebut setelah mendapati mahkamah jenayah tiada bidang kuasa untuk memberikan keputusan berbentuk deklarasi.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak), Saidi Abang Samsudin untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui bekas Pegawai Khasnya, Datuk Rizal Mansor melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016. Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.

Kesalahan didakwa  dilakukan di kediamannya di ‪No. 11, Jalan‬ ‪Langgak‬ Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta pada 7 September 2017. 

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya