Ridhuan Tee akui lemah didik anak

Ridhuan Tee akui lemah didik anak

MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli akademik, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah tampil menjelaskan beliau mengakui tidak sempurna dan lemah mendidik anaknya, pelakon Syafi Tee yang terpalit dengan aksi mencium wanita seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut tokoh pendakwah itu, iman tidak dapat diwarisi dan tidak dapat dijual beli, justeru itu beliau berharap semua itu tidak terjadi kepada orang lain. 

“Sedangkan Nabi Nuh pun tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya, inilah pula diri saya, hamba Allah yang hina dina ini, tetapi saya telah melakukan yang terbaik, untuk semua anak saya seramai enam orang. 

“Begitu juga saudara mara saya. Selebihnya saya berserah…Saya pasrah…,” luah beliau dalam Facebook hari ini.

Beliau mengulas isu membabitkan anaknya selepas berdiam kerana sibuk tugas seharian dan terlibat dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini.

Mohd. Ridhuan kemudian menjelaskan, apa berlaku tidak akan menghalang beliau untuk meneruskan kehidupan dan terus melaksanakan kewajipan sebagai seorang Muslim dengan menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar sama ada secara lisan mahupun tulisan.  

“Saya akan terus menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar, meskipun ia berlaku kepada anak sendiri. Umat Islam hari ini, terutama anak-anak Melayu Islam kita perlu diselamatkan, meskipun yang terpaksa diselamatkan itu anak sendiri. 

“Ini suatu ujian daripada Yang Maha Esa dan Maha Pencipta. Ujian ini akan terus mematangkan kita,” jelas beliau.

Menyifatkan perkara itu sebagai ujian, beliau berkata, anak keduanya itu lebih meminati bidang seni setelah tamat belajar dan sebagai bapa, beliau telah menasihatinya tentang dunia seni, yang telah diceburinya semenjak memeluk Islam lebih 30 tahun. 

“Cuma bezanya seni saya adalah seni artis ilmuan, manakala anak memilih seni artis hiburan. Saya tidak melarang, cuma mengingatkan agar pandai membawa diri. 

“Pastikan bidang seni hiburan boleh membawa kita ke syurga. Pastikan seni dapat mendidik anak bangsa. Titipan demi titipan. Namun apakan daya Allah mahu menguji hambanya yang kerdil ini,” katanya.

Beliau kemudian mengharapkan apa yang berlaku kepadanya tidak berlaku kepada kepada orang lain dan mendoakan yang terbaik untuk saudara di luar sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya