Resepi rahsia bubur lambuk ‘Sejid Putih’

Resipi rahsia bubur lambuk ‘Sejid Putih’

Kakitangan Masjid Abidin bersama kakitangan Media Mulia Sdn.Bhd. mengedarkan bubur lambuk dan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! secara percuma kepada orang ramai dalam program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Era Foods MY di Masjid Abidin, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Setiap kali Ramadan, bubur lambuk ‘Sejid Putih’ di Masjid Abidin di sini sering menjadi buruan ramai hingga ada yang sanggup beratur panjang selepas solat Zuhur semata-mata untuk mendapatkan sebekas juadah tradisi itu.

Menu itu bukan sekadar popular dalam kalangan penduduk tempatan, malah turut digemari pelancong termasuk dari Kuala Lumpur selain masyarakat bukan Islam.

Penolong Eksekutif Masjid Abidin merangkap Imam, Mohd. Azrul Hafiz Alias berkata, selain rasa yang enak, keunikan bubur lambuk Sejid Putih adalah kerana masih mengekalkan resipi warisan turun-temurun termasuk ramuan istimewa iaitu budu.

Katanya, bahan-bahan lain yang digunakan dalam penyediaan hidangan itu antaranya ialah isi ikan tongkol hitam di samping ubi keledek serta pelbagai sayuran iaitu pucuk midin, kaduk, moringa, ubi dan kangkung.

Menurutnya, proses memasak bubur lambuk oleh tukang masak, Nurul Amirah Che Harun bermula seawal pukul 6.30 pagi dan siap tiga jam kemudian bagi diagihkan secara percuma kepada orang ramai.

“Aktiviti agihan ini merupakan tradisi tahunan masjid sejak 2010 dan lazimnya kesemua 600 bubur lambuk habis dalam masa kurang 15 minit susulan permintaan yang tinggi setiap hari.

“Bagaimanapun, kita berterima kasih atas kerjasama berterusan pihak luar termasuk Era Foods MY (Beras Era) dan Media Mulia Sdn. Bhd. yang sudi menaja 1,000 bekas juadah itu menerusi Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

KEUNIKAN bubur lambuk di Masjid Abidin yang masih mengekalkan resipi warisan turun-temurun kini boleh dinikmati menerusi program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Era Foods MY dengan kerjasama masjid berkenaan dan Media Mulia Sdn. Bhd. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

Selain bubur lambuk, sebanyak 1,000 pek Beras Era jenis Basmathi Sultan seberat 400 gram di samping akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! turut diagihkan kepada orang ramai bermula pukul 2.30 petang.

Menurut Mohd. Azrul Hafiz, sepanjang Ramadan ini sebanyak tujuh syarikat di samping orang perseorangan terlibat dalam penajaan hidangan bubur lambuk itu.

Sementara itu, Nurul Amirah berkata, empat botol budu dimasukkan dalam bubur lambuk yang menggunakan 300 kilogram Beras Era jenis Nagasari Super Spesial Tempatan (SST).

Beras Era sesuai cita rasa orang Terengganu

Syarikat pengeluar beras, Era Foods MY (Beras Era) yakin jualan produk mereka dapat ditingkatkan di negeri ini sekali gus menjadi pilihan rata-rata penduduk di Terengganu.

Pengurus Pemasaran Wilayah Kelantan dan Terengganu, Ting Kuan Leong berkata, beras Era jenis Nagasari Super Spesial Tempatan (SST) bukan sahaja berkualiti dan sedap malah sesuai dengan citarasa tempatan.

Katanya, menerusi insiatif Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk bersama Media Mulia Sdn. Bhd. di Masjid Abidin di sini secara tidak langsung dapat mempromosi keistimewaan Beras Era kepada orang ramai.

“Di samping itu, kita turut menyumbang sebanyak 300 kilogram beras Nagasari SST bagi penyediaan 1,000 bekas bubur lambuk ‘Sejid Putih’ yang istimewa.

“Berdasarkan maklum balas tukang masak, Beras Era sangat sesuai untuk menghasilkan bubur lambuk kerana teksturnya yang tidak terlalu hancur dan bertepatan dengan citarasa masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

KAUNTER pandu lalu turut disediakan bagi memudahkan pengedaran bubur lambuk sempena program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Era Foods MY di Masjid Abidin, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Kesemua 1,000 bekas bubur lambuk Sejid Putih habis diedar secara percuma dalam tempoh kurang 20 minit mulai pukul 2.30 petang.

Dalam majlis itu, Kuan Leong turut mengagihkan 1,000 pek Beras Era jenis Basmathi Sultan seberat 400 gram di samping akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! kepada orang ramai.

Sementara itu, katanya, antara jenis beras keluaran syarikat ialah Nagasari SST, Nagasari Super Spesial Wangi, Nagasari Super Import, Nagasari Pulut Susu dan Sultan Basmathi.

Terengganu merupakan lokasi kedua bagi program edaran bubur lambuk percuma, Kongsi Berkat Bubur Lambuk selepas Perlis yang melibatkan sumbangan sebanyak 1.2 tan beras.

Inisiatif sama akan diteruskan di Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur pada 20 April dan seterusnya di Masjid Sultan Iskandar (Johor Bahru) pada 27 April. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya