Reman pemandu treler disambung tiga hari lagi

Reman pemandu treler disambung tiga hari lagi

PEMANDU treler yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan lima pelajar USAS dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping untuk permohonan sambung perintah reman hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Perintah reman ke atas pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dekat Kuala Kangsar Khamis lalu, disambung tiga hari lagi.

Tempoh tahanan reman sehingga Rabu ini dikeluarkan terhadap suspek berusia 28 tahun itu setelah tempoh reman empat hari sejak Khamis lalu berakhir hari ini.

Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret Taiping di sini hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9.20 pagi dengan diiringi anggota polis sebelum meninggalkan mahkamah hampir sejam kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, suspek dijangka akan didakwa dalam masa terdekat setelah kertas siasatan kes berkenaan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan pendakwaan.

“Perintah sambung reman selama tiga hari lagi diperolehi bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.

“Suspek dijangka akan didakwa pada Selasa ini sama ada pada sebelah petang atau Rabu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 12.52 tengah malam di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara Khamis lalu, kesemua mangsa rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar.

Mangsa terlibat dikenali Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Dalam kejadian tersebut, pemandu treler berusia 28 dan 37 tahun tidak cedera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya