LIPIS: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis membuka kertas siasatan hari ini berhubung kehilangan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dari rumahnya di Kampung Tanjong Besar, Kuala Kenong, dekat sini.
Siti Norfatimah Md. Idin dipercayai keluar dari rumahnya pada 25 Mei lalu, pada pukul 9 pagi untuk menghantar baju kepada rakan di stesen kereta api di Batu 9 dan kemudian tidak pulang sehingga kini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, remaja itu dilihat kali terakhir pada 25 Mei lalu, kira-kira pukul 9 pagi oleh bapa saudaranya bernama Ahmad Man yang tinggal berdekatan rumah mangsa.
“Menerusi aduan, mangsa dihantar oleh bapa saudaranya ke stesen keretapi Batu 9 untuk menghantar baju kepada rakannya.
“Berikutan anaknya tidak pulang menjelang malam, bapanya, Md. Idin Man yang bekerja sebagai penoreh getah membuat laporan polis hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, setibanya di stesen kereta api Batu 9, Siti Norfatimah meminta bapa saudaranya pulang dengan memberitahu bapanya akan datang menjemputnya kemudian.
“Menyedari Siti Norfatimah tidak pulang menjelang malam, bapa remaja itu mula mencari di merata tempat dengan bantuan penduduk Kuala Kenong termasuk bertanyakan kepada rakannya dan setelah usaha mencari gagal, bapanya membuat laporan polis.
“Kes remaja perempuan di bawah umur itu diklasifikasi sebagai orang hilang dan polis membuka kertas siasatan untuk menjejaki remaja tersebut,” ujarnya.
Jelasnya, orang ramai yang melihat atau menemui remaja perempuan ini diminta menyalurkan maklumat ke IPD Lipis menerusi talian 09-3122222 (Inspektor Muhammad Faiz Arif Pauzi) atau mana-mana balai polis berhampiran.- UTUSAN