LIPIS: Seorang warga emas, Baharuddin Saaid, 63, terpaksa mencari alternatif untuk mendapatkan bekalan keperluan juadah hari raya berikutan pengumuman 1 Syawal disambut hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Baharuddin berkata, dia terkejut sebaik mendengar pengumuman raya kerana sebelum itu belum membuat persiapan untuk juadah berhari raya.
“Saya merancang turun ke bandar Kuala Lipis pada Isnin (hari ini) untuk berbelanja keperluan dapur sebagai persiapan juadah lemang dan rendang, tetapi apabila mendengar pengumuman tersebut, terpaksalah saya mencari cara lain menyediakan juadah.
“Antaranya menyuruh isteri menangkap lima ekor ayam kampung yang tidur di reban, manakala saya bersama anak menebang buluh di pinggir kampung.
“Disebabkan gelap, kami cuma dapat mengerat 25 batang buluh dan nasib baik beras sudah dibeli minggu lalu lagi,” katanya ketika ditemui di Kampung Relong dekat sini hari in
Cerita Baharuddin lagi, selepas itu kami sekeluarga bergotong-royong memasak lemang dan rendang dan sempat dihidangkan pagi ini.
Perkara sama turut dihadapi Abdullah Zawawi Kamaludin di Kampung Relong apabila dia segera ke bandar Kuala Lipis untuk berbelanja daging import dan ayam di pasar raya.
“Saya baru pulang dari Raub kerana bekerja dan sebelum ini merancang untuk mengajak isteri berbelanja keperluan dapur pada 2 Mei (Isnin) memandangkan yakin Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut pada 3 Mei (Selasa).
“Rupa-rupanya ketika berada di masjid, saya mendengar pengumuman tarikh baharu hari raya pada 2 Mei dan kemudian isteri menghubungi saya supaya balik segera selepas solat untuk membeli keperluan di bandar Kuala Lipis malam tadi,” ujarnya.
Tambahnya, dia dan isteri serta bantuan anak mula memasak juadah pada pukul 2 pagi hari ini setelah membawa pulang keperluan dapur dari bandar Kuala Lipis. – UTUSAN