KUALA TERENGGANU: Sambutan Aidilfitri memberi limpahan rezeki kepada pengusaha resort di pulau peranginan di negeri ini apabila premis masing-masing penuh dalam tempoh seminggu sejak 1 Mei lalu.
Situasi itu sekali gus menyebabkan kebanyakan resort terpaksa menolak tempahan pelangan kerana ketiadaan bilik sehingga hujung minggu ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Redang Pelangi Resort di Pulau Redang, Foo Ee Lin berkata, rata-rata rakyat Malaysia seolah-olah membalas dendam dengan bercuti panjang setelah sekian lama tidak berpeluang berbuat demikian akibat Covid-19.
Katanya, ketika ini kesemua 50 bilik di resort itu penuh dengan tempahan yang dibuat sejak Mac.
“Biasanya pelanggan cuma menginap tiga hari dua malam pada hari raya tetapi trend kali ini sedikit pelik kerana kebanyakannya menempah antara empat hingga enam hari.
“Seolah-olahnya mereka mengambil kesempatan cuti musim perayaan untuk membalas dendam bercuti bersama keluarga masing-masing,” katanya baru-baru ini.
Ee Lin berkata, buat masa ini pelanggan ke resortnya hanya dalam kalangan pengunjung tempatan dan pelancong antarabangsa dijangka datang bermula Jun ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, pengunjung mulai memasuki pulau peranginan berkenaan sejak 2 Syawal lalu.
Katanya, rata-rata pemilik resort kini tidak menang tangan mengendalikan pelanggan yang datang menginap.
“Saya menjangkakan kedatangan pelancong ke Pulau Perhentian naik mendadak selepas Aidilfitri ini kerana bermula Jun ini, kebanyakan bilik-bilik di resort sudah habis ditempah pelanggan termasuk pelancong asing,” katanya. – UTUSAN