ARAU : Kepemimpinan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menjadi teladan berharga buat rakyat jelata di negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, baginda pemimpin disayangi yang diibarat seperti ‘kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan’.
Baginda bertitah, Tuanku Syed Sirajuddin merupakan pemimpin bijaksana selain membuat sesuatu keputusan yang adil dan saksama.
“Baginda (Tuanku Syed Sirajuddin) jugalah pemimpin yang menjadi tempat rakyat berpaut dan berharap, bak ‘condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.
Baginda bertitah demikian ketika mempersembahkan ucapan mengulangi taat setia tidak berbelah bahagi kepada Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis Ke-79 di sini.
Titah baginda lagi, Tuanku Raja Perlis dijulang sebagai pemimpin yang hebat.
Baginda turut menyentuh mengenai kejayaan Raja Perlis memimpin watan tercinta ini dan di sisi baginda ada insan yang setia menemani iaitu Raja Perempuan Perlis.
Seterusnya, Tuanku Syed Faizuddin mendoakan semoga bertambah makmur negeri yang bertuah ini.
“Seperti ‘air di dalam dulang, air jernih, ikannya jinak’ dan semoga baginda berdua bertambah sihat terpelihara terus bertakhta menelusuri masa,” titah baginda. – UTUSAN