SHAH ALAM: Calon Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR, Rafizi Ramli yakin partinya dan Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai ‘formula’ untuk menyelesaikan pelbagai masalah rakyat seperti isu jurang pendapatan dan pekerjaan serta perbekalan makanan.
Menurutnya, rakyat perlu diyakinkan dengan keupayaan parti dan kepimpinan dalam PKR yang mampu untuk bersikap menerima suara yang dizahirkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
“Sebab itu dalam keadaan ini, saya beranggapan setelah melalui kehidupan sebagai orang biasa dan pengundi biasa pada empat tahun lepas dan suara rakyat mahukan pimpinan PKR dan PH supaya tidak bersikap defensif dan menerima maklum balas ini yang dizahirkan dalam kekalahan empat PRN berturut-turut.
“Kita ada PRU yang mungkin kurang setahun dari sekarang, sebab itu kita mesti bersiap sedia dan perlu yakin dengan kekuatan kita,” katanya berucap dalam debat bersama Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail di sini hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menambah, walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi PRN sebelum ini, namun sokongan pengundi terhadap mereka dikatakan berada pada tahap yang sama.
Malah kata Rafizi, manifestasi yang dizahirkan rakyat dalam pilihan raya tersebut adalah rentetan daripada kepimpinan negara dan parti yang sibuk mencatur untuk mendapatkan jawatan dan kuasa ketika ‘Langkah Sheraton’.
“Rakyat memainkan peranan apabila kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), rakyat membuat keputusan yang tidak pernah dibuat sebelum itu iaitu menukar kerajaan buat kali pertama.
“Sejak berlakunya Langkah Sheraton lebih dua tahun yang lepas, ada tanggapan bahawa kepimpinan politik di negara ini daripada semua parti, lebih sibuk mencatur untuk mendapatkan kedudukan dan kuasa daripada benar-benar bersaing untuk menyelesaikan masalah.
“Itu menyebabkan berlaku kelesuan politik dan perkara itu dizahirkan dalam beberapa siri PRN yang berlaku, kita tengok keadaannya ialah undi UMNO/BN tidak bertambah,” jelasnya.
Jelas bekas Naib Presiden PKR itu, PKR dan parti lain kini berdepan dengan 63 peratus pengundi atas pagar yang masih belum memutuskan untuk menyokong mana-mana parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Angka terbaharu itu menunjukkan bahawa daripada pengundi di negara ini tidak tahu untuk memilih parti mana apabila masuk PRU yang akan datang dan mereka mengharapkan satu pembaharuan dan isyarat yang jelas daripada parti politik bertanding,” jelasnya. – UTUSAN