PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan Rabu ini masih hari cuti umum bagi kebanyakan negeri di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana cuti umum Hari Pekerja pada Ahad (1 Mei) akan diganti pada Rabu (4 Mei).
Menurut beliau, pada awalnya, cuti Hari Pekerja dijadual diganti pada Isnin (2 Mei) manakala cuti Aidilfitri dijangka pada Selasa (3 Mei) dan Rabu (4 Mei).
Bagaimanapun, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semalam mengumumkan Aidilfitri akan disambut pda Isnin (2 Mei) dan Selasa (3 Mei).
Kata Perdana Menteri, dengan penggantian Hari Pekerja dipindahkan kepada hari Rabu, bermakna cuti umum kekal dari Isnin hingga Rabu.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, cuti umum sehingga Rabu itu hanya boleh diguna pakai untuk negeri yang mempunyai hari Sabtu dan Ahad sebagai hujung minggu.
Bagi Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor yang mempunyai hari Jumaat dan Sabtu sebagai hujung minggu tidak boleh mengguna pakai perkiraan cuti umum tersebut.
Ini kerana negeri-negeri berkenaan telah menyambut cuti Hari Pekerja pada 1 Mei dan tidak memerlukan penggantian.
Namun, Ismail Sabri berkata, cuti pada hari Rabu itu tertakluk kepada keputusan negeri masing-masing dengan ada beberapa negeri telah memutuskan untuk mengumumkan cuti tambahan atau cuti peristiwa bagi melanjutkan cuti sepanjang minggu semasa musim Aidilfitri.- UTUSAN