Rabies: Perhilitan tangkap kelawar pemakan buah - Utusan Malaysia

Rabies: Perhilitan tangkap kelawar pemakan buah

ANTARA kelawar pemakan buah yang berjaya dicekup dalam operasi di Seri Kembangan, Selangor akhir bulan lalu. - Foto ihsan Perhilitan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekumpulan tiga spesies kelawar pemakan buah ditangkap dalam program survelan khas penyakit rabies di Seri Kembangan, Selangor dekat sini baru-baru ini.

 Menurut kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini, aktiviti itu dijalankan di sekitar kawasan perumahan Taman Sri Serdang pada 26 April lalu bersama pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor dan Perhilitan negeri melibatkan seramai 20 kakitangan.

Langkah pemantauan itu susulan kes terbaharu rabies di Selangor pada 22 April lalu membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun dilaporkan di Daerah Kuala Langat. 

Ini menjadikan dua kes direkodkan di negeri tersebut selepas satu kematian dicatatkan pada 10 April lalu yang melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun di Daerah Petaling.

Rabies atau penyakit anjing gila disebabkan oleh virus yang mengakibatkan jangkitan radang otak pada haiwan atau manusia sehingga berlaku gejala agresif, kebas, sawan dan takut air.

 Kelawar pemakan buah  memang banyak terdapat di negara yang beriklim tropika di sebahagian besar Afrika, rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan serta wilayah Oceania.

 Mamalia terbang ini mula dikenal pasti saintis zoologi Britain, John Edward Gray pada 1821 dan diletak dalam keluarga Pteropodidae kerana sifatnya makan buah dan bukan serangga.

Haiwan ini kelazimannya sering dikaitkan sebagai ejen penyebar virus berjangkit antaranya wabak maut Ebola di sekitar benua Afrika dan Nipah di Asia Tenggara pada 1990-an.

 Bagaimanapun kelawar jenis ini turut diancam kepupusan oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa sejak 2014 kerana diburu untuk tujuan perubatan dan makanan. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya