Pusat pemerhatian astronomi RM250,000 diwujudkan di HSBM

Pusat pemerhatian astronomi RM250,000 diwujudkan di HSBM

AHMAD FUZI Abdul Razak (tengah) mencuba teleskop yang dipamerkan pada majlis pecah tanah untuk projek pusat pemerhatian astronomi di sekolah tersebut di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Sebuah pusat pemerhatian astronomi dianggarkan bernilai RM250,000 akan dibina di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam atau High School Bukit Mertajam (HSBM) tidak lama lagi.

Bakal dikenali sebagai Pusat Pemerhatian Astronomi Tun Ahmad Fuzi sempena nama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, kerja-kerja pembinaannya dijangka mengambil masa setahun dengan dikendalikan sebuah syarikat pelaburan teknologi, Radiance Assets Berhad.

Terdahulu, Ahmad Fuzi dalam ucapannya sempena majlis itu berharap kemudahan teknologi tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga HSBM.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana sekolah tersebut kini berada pada landasan yang betul untuk memacu ke arah kecemerlangan dan kegemilangan. 

“HSBM telah melahirkan tokoh-tokoh hebat negara seperti bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Mantan Ketua Setiausaha Wisma Putra, Tan Sri Ahmad Kamil; bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. Ibrahim Saad; Sasterawan Negara, Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh dan ramai lagi. 

“Justeru, saya percaya ramai lagi tokoh-tokoh sedemikian akan muncul pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Pecah Tanah untuk projek pusat pemerhatian astronomi itu di HSBM, di sini hari ini.

Turut berlangsung pada majlis yang sama ialah sesi penyerahan cek tajaan bernilai RM250,000 yang diberikan kepada alumni sekolah tersebut melalui Presiden Alumni HSBM, Datuk S. Kulasegaran.

Difahamkan, majlis itu diadakan sempena Hari Gabenor HSBM iaitu sebagai penghargaan kepada Ahmad Fuzi yang menjadi alumni pertama sekolah itu bergelar Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang selain minat mendalam beliau terhadap bidang astronomi.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Radiance Assets, Dr. Mohd. Ezman Zamani berkata, projek tersebut merupakan salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan itu sebenarnya boleh dimulakan pada bila-bila masa sahaja ketika ini, namun bergantung kepada pihak kontraktor selepas mereka dilantik.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN