Pulau Pinang jamin kebajikan penduduk asal kampung tradisi terbela

Pulau Pinang jamin kebajikan penduduk asal kampung tradisi terbela

CHOW Kon Yeow (berbaju biru) bersama penduduk Kampung Bagan Jermal, Butterworth iaitu antara kampung tradisi yang masih kekal di Pulau Pinang dalam majlis perasmian mural 'kampung tradisi' malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Kebajikan penduduk asal di sesebuah kampung tradisi di Pulau Pinang akan tetap terbela meskipun tanah mereka diambil untuk tujuan pembangunan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dalam hal ini, menjadi dasar kerajaan negeri untuk memastikan pemaju terlibat perlu menyediakan kawasan penempatan baharu kepada penduduk sebelum projek boleh dibangunkan.

“Itu (penyediaan kawasan penempatan baharu) adalah cara yang kita lakukan bagi memastikan mereka (penduduk) mendapat perlindungan selain bayaran secara ‘ex-gratia’ (pembayaran ihsan) dan sebagainya walaupun mereka mungkin terpaksa diusir daripada penempatan asal,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika hadir pada Majlis Perasmian Mural dan Majlis Sambutan Raya Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal di kampung Bagan Jermal di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut kata Kon Yeow, ketika ini terdapat lebih 200 buah kampung tradisi di Pulau Pinang dengan sebahagian besar masih mengekalkan tradisi kekampungan walaupun berada di tengah-tengah bandar.

Katanya, ia termasuk Kampung Bagan Jermal yang telah berusia lebih 80 tahun dan wujud sebelum zaman penjajahan Jepun.

Justeru, beliau berharap untuk melihat kampung tradisi itu terus dikekalkan walaupun kebanyakan kampung terbabit mempunyai isu berkaitan pemilikan tanah.

“Sebenarnya, isu ini (masalah pemilikan tanah) telah berlaku sejak dulu lagi dan masih ada melainkan projek pembangunan itu dibuat di atas tanah milik kerajaan.

“Tapi, jika pembangunan itu dibuat di atas tanah milik swasta, kita tidak dapat melarang dan jika berlaku juga, kita akan rujuk kepada dasar yang kita gunakan (penyediaan kawasan penempatan baharu sebelum sesuatu projek dibangunkan) bagi menjaga kebajikan penduduk asal,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana hadir menyempurnakan acara menandatangani plak pada mural ‘kampung tradisi’ yang dilukis oleh seorang karyawan tempatan, Hunny Ooi.

Katanya, Kampung Bagan Jermal yang dulunya dikelilingi hutan kini masih bertahan sebagai sebuah kampung tradisi di sebalik pelbagai pembangunan yang ada di sekitar kampung berkenaan.

“Saya berharap lukisan mural berkaitan kampung ini kekal di sini untuk diimbau oleh generasi akan datang,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya