MELAKA: Kumpulan atau puak yang menimbulkan isu peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13 dilihat berbuat demikian hanya kerana ingin melagakan-lagakan dua pemimpin utama di negeri ini.
Kata Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh, jika semakin dibiarkan, pihak tidak bertanggungjawab itu kian ‘menjadi-jadi’ berusaha merosakkan hubungan baik Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Tegas Muhamad Akmal, sepanjang keterlibatannya bergelar pengerusi jawatankuasa (Exco) kerajaan negeri sejak Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu, beliau mengesahkan tidak pernah berlaku sebarang usaha atau pihak yang melobi untuk menukar Sulaiman seperti didakwa puak terlibat.
“Tidak pernah sekelumit pun, sepanjang saya menjadi Exco ada usaha yang meminta kami menukar kepemimpinan kerajaan negeri daripada mana-mana pihak.
“Maka dakwaan untuk meminta Ketua Menteri meletakkan jawatan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas, kerana ia tidak pernah langsung berlaku dan dibincangkan bersama kami, wakil rakyat.
“Kami tidak pasti pula jika ia dibincangkan bersama dengan ketua bahagian dan pemangku ketua bahagian yang bukan wakil rakyat untuk menukarkan kepemimpinan Sulaiman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Spekulasi peletakan jawatan itu mula kecoh minggu lalu, apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad memaklumkan, lima ketua bahagian di negeri ini sebulat suara mempertahankan Sulaiman terus kekal memegang jawatan tersebut sehingga habis penggal.
Bagaimanapun, Ab. Rauf kemudian menegaskan, pihak-pihak yang masih menyebarkan ‘berita’ tersebut mungkin tidak ‘sabar’ mahu mengisi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka disandang beliau.
Terbaharu, Mohamad Ali menafikan dakwaan bahawa beliau mengimpikan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Dalam pada itu, tambah Muhamad Akmal, kerajaan negeri dan Ketua Menteri hari ini dibentuk dan dipilih oleh wakil rakyat, bukannya dipilih ketua bahagian mahupun pemangku ketua bahagian yang bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Jadi saya harap kepada pihak yang suka melaga-lagakan orang ini, janganlah jadi seperti ‘lebih sudu dari kuah’.
“Tugas kami hari ini setelah mendapat kepercayaan rakyat adalah untuk membangunkan negeri dan berkhidmat pada rakyat Melaka, bukannya sibuk berpolitik menjatuhkan mana-mana pihak,” ujarnya yang juga ADUN Merlimau. – UTUSAN