GEORGETOWN: Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang menyokong solidariti penduduk Sungai Ara dekat sini, yang memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi membantah projek Sunway City di kawasan tanah berbukit yang dikhuatiri mengancam alam sekitar.
Lima NGO itu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP); Sahabat Alam Sekitar (SAM); Penang Forum; Persatuan Penduduk Tanjung Bunga (TBRA) dan Penang Hills Watch (PHW).
Presiden CAP yang mewakili semua NGO, Mohideen Abdul Kader berkata, perbicaraan di Mahkamah Persekutuan akan berlangsung pada 25 dan 26 Mei dan menyifatkan sebagai kes kepentingan awam yang ketara.
Ini kerana, menurut beliau, ia melibatkan aspek undang-undang perancangan dan perlindungan tanah serta cerun bukit daripada pembangunan bukan hanya di Pulau Pinang tetapi juga di seluruh negara.
”Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita telah menyaksikan kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun bukit yang menyebabkan kehilangan banyak nyawa, kecederaan manusia dan kerosakan harta benda di Pulau Pinang dan seluruh negara.
”Penduduk dari Kondominium Sunrise Garden dan perumahan di kawasan kaki bukit berhampiran projek yang dicadangkan telah membawa rayuan ini ke Mahkamah Persekutuan kerana bimbang akan keselamatan serta kesannya kepada alam sekitar,” katanya dalam sidang akhbar bersama NGO-NGO alam sekitar di Pejabat CAP, di sini hari ini.
Pembangunan
Projek Sunway Hills oleh Sunway City di Sungai Ara melibatkan pembangunan perumahan di kawasan tanah bukit iaitu tanah dengan ketinggian lebih daripada 250 kaki (76 meter) di atas paras laut dan kecerunan melebihi 25 darjah.
Pada 20 November 2015, Lembaga Rayuan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa (TCPA) 1976, mendukung bantahan oleh penduduk terhadap kelulusan projek dan kebenaran merancang yang diberikan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Pada 2017, Sunway City dan MBPP memfailkan permohonan semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap keputusan Lembaga Rayuan dan pada 29 Mei 2017 keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada Sunway City dan MBPP.
Pada Jun 2017, penduduk Sungai Ara memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan selepas dua tahun rayuan didengar mahkamah yang kemudian memberi keputusan yang memihak kepada Sunway City, justeru penduduk telah membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Menurut Mohideen, isu membabitkan pembangunan di kawasan bukit adalah satu perkara yang serius melibatkan kepentingan awam yang memerlukan perhatian orang ramai.
”Kami memuji semangat dan keberanian lebih 1,500 penduduk Sungai Ara dalam menerajui rayuan penting ini ke Mahkamah Persekutuan walaupun mereka menghadapi cabaran kewangan,” katanya.- UTUSAN