Posmen didakwa curi barang kemas

Posmen didakwa curi barang kemas

MOHAMAD Azizal Rebu diiring keluar anggota polis selepas dituduh dengan tiga pertuduhan mencuri dan menjual bungkusan mengandungi barang kemas di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang posmen didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mencuri dan menjual bungkusan mengandungi barang kemas, Mac lalu. 

Tertuduh Mohamad Azizal Rebu, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di bahagian kaunter serahan barangan sebuah syarikat kurier didakwa mencuri seutas rantai leher emas yang mempunyai loket bertulis ‘Atieda’ dan satu loket emas kecil.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 8 hingga 10.30 pagi di pusat serahan Ayer Keroh, Taman Tasek Utama Melaka, 3 Mac lalu. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang berkhidmat sebagai posmen selama 15 tahun didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat curang menghapuskan harta curi berkenaan dengan cara menjualnya di sebuah premis pajak gadai di Jalan Munshi Abdullah.

Tindakan itu didakwa dilakukan menerusi dua transaksi berasingan pada 12 dan 21 Mac 2022 dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan. 

Difahamkan, mangsa menyedari kejadian tersebut selepas barang kemas bernilai RM6,800 yang dibeli diisytiharkan hilang ketika proses transit penghantaran kiriman barangan. 

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Tertuduh yang diwakili Peguam Amritpal Singh bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya telah digantung tugas dan kini bekerja sebagai penghantar makanan. 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 7 Julai depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya