Pondok panas dekat, pertukaran ‘cai’ dibangkitkan pemilihan PKR Kangar - Utusan Malaysia

Pondok panas dekat, pertukaran ‘cai’ dibangkitkan pemilihan PKR Kangar

PEMILIHAN PKR cabang Kangar berlangsung tenang di salah sebuah hotel di Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Beberapa isu seperti jarak pondok panas terlalu berhampiran dengan pusat mengundi dan pertukaran ‘cai’ dibangkitkan salah seorang calon dalam pemilihan PKR Cabang Kangar sempena pemilihan parti yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini.

Ketidakpuasan hati berhubung perkara itu dibangkitkan calon Ketua Cabang PKR Kangar, Gan Ay Ling yang menyifatkan budaya tersebut khususnya pondok panas yang terletak terlalu berhampiran sebagai tidak sihat dan didakwa sebagai tidak mematuhi syarat.

Katanya, jarak pondok panas di sini dilihat hanya dalam lingkungan 50 meter dari lokasi pengundian.

“Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) perlu mengambil perhatian tegas perkara ini. Ia dilihat tidak adil bagi mereka yang mematuhi peraturan. Syarat pondok panas itu sepatutnya dalam lingkungan 200 meter.

“Satu lagi, saya lihat berlaku pertukaran ‘cai’ iaitu cai yang diberikan kepada pengundi diambil dan ditukar kepada ‘cai’ calon lain. Ini budaya yang tidak sihat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan itu ketika ditemui pada pemilihan tersebut di sini hari ini.

TIGA calon Ketua Cabang PKR Kangar mengadakan sidang akhbar di salah sebuah hotel di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Menepis dakwaan tersebut, calon yang juga penyandang jawatan Ketua Cabang PKR Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, jarak pondok panas yang dekat bukanlah menjadi isu kerana ia bakal memudahkan ahli yang mengundi mendapat maklumat sepatutnya.

Malah, beliau juga menepis dakwaan yang dibangkitkan kononnya ada calon yang merampas atau melakukan pertukaran ‘cai’ calon bertanding.

“Tidak jadi isu, calon akan memberi ‘cai’ atau senarai nama calon bertanding bagi memudahkan ahli memilih calon pilihan mereka. Tidak kisahlah di tangan ahli yang mengundi itu mempunyai beberapa cai sekali pun.

“Apa yang dapat dilihat dan jelas, pemilihan kali ini berlangsung dengan cukup tenang dan pertandingan yang sihat,” katanya merangkap Ahli Parlimen Kangar.

Seorang lagi calon Ketua Cabang PKR Kangar, Amar Amran pula berkata, pondok panas yang dekat akan memudahkan ahli kerana tidak perlu berjalan terlalu jauh dari lokasi mengundi.

“Jarak 200 meter yang dibangkitkan (Ay Ling) sangat jauh dan dilihat akan menyusahkan pengundi mendapatkan sesuatu maklumat. Saya tidak melihat perkara itu menjadi isu,” katanya.

Calon Timbalan Ketua Cabang PKR Kangar, Nor Azam Karap berkata, sejak awal, pasukan calon-calon yang bertanding itu dibenarkan berkempen bawa ‘cai’ masing-masing.

“Dakwaan ada calon curi atau tukar ‘cai’ itu tidak benar. Terpulang kepada pengundi memilih calon pilihan mereka manakala pondok panas berhampiran juga tidak menjadi isu kerana ia dibenarkan oleh JPP, tidak ada masalah,” kata ADUN Kuala Perlis itu.

Sementara itu, Koordinator JPP PKR negeri, Abdul Rahman Hamzah berkata, lebih 9,000 ahli layak mengundi membabitkan pemilihan tiga cabang di negeri ini.

Katanya, pemilihan PKR negeri ini berlangsung dalam suasana tenang dan berjalan lancar.

“Pengundian dalam pemilihan hari ini berlangsung serentak dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Keputusan dijangka diumumkan pada 23 Mei,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya