LONDON: Sebuah pondok tepi pantai di bandar Southwold yang terkenal dengan kunjungan selebriti, berjaya dijual di pasaran pada harga 250,000 pound (RM1.35 juta).
Harga itu dipercayai paling tinggi pernah diminta di United Kingdom (UK) bagi pondok tepi pantai yang tidak dibenarkan dihuni dan dua kali ganda berbanding kos rumah teres tiga bilik tidur di kawasan berhampiran.
Lapor Daily Mail, pondok bernombor 149 dan dikenali sebagai Here’s Hoping hanya berukuran lebar 320.04 sentimeter (cm) dan terletak di pusat utama persiaran di bandar Edward Southwold, Suffolk.
Resort itu sentiasa menjadi tempat percutian popular bagi penduduk London dan selebriti terkenal termasuk Chris Evans, Michael Palin, Stephen Fry, Rowan Atkinson dan Richard Curtis.
Pondok yang terletak di pantai selatan dilaporkan lebih mahal dengan harga jualan dikenakan bagi sesetengah pihak di Dorset melebihi 500,000 pound (RM2.71 juta).
Namun, pondok tepi pantai di Southwold yang tidak mempunyai bekalan air mahupun elektrik, tertakluk kepada undang-undang tempatan ketat yang melarang mana-mana individu untuk tinggal.
Pembeli masih perlu membayar sewa tanah tahunan sebanyak 998 pound (RM5,401) dan hanya mempunyai 18 tahun lagi daripada pajakan 30 tahun.
Mereka juga dapat menikmati pemandangan menakjubkan dari beranda yang menghadap ke pantai dan Laut Utara selain pondok itu memiliki beberapa kemudahan lain seperti restoran dan kedai berhampiran.
Dilaporkan, terdapat beberapa rumah untuk dijual dengan harga antara 120,000 dan 140,000 pound (RM549,474 dan RM757,758) kira-kira 16.09 kilometer (km) dari Lowestoft, Suffolk.