KAMPAR: Polis sedang mengesan lelaki yang disyaki terlibat kes cabul seorang pelajar wanita sebuah universiti swasta di sini dalam kejadian di Jalan Batu Hijau dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, mangsa berusia 19 tahun mendakwa dipeluk suspek dari belakang ketika dalam perjalanan dari rumah ke kedai di kawasan berhampiran.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek menjerit sebelum lelaki itu melarikan diri dalam kawasan semak.
Menurut beliau, pada masa sama, seorang lelaki yang juga penuntut universiti sama yang melihat kejadian segera membantu mangsa.
“Menurut pelajar terbabit, suspek yang tidak dikenali itu berkulit gelap dan tidak memakai pakaian. Ketika kejadian, dia berjalan seorang diri untuk pergi ke kedai.
“Ekoran keadaan sekeliling yang agak samar-samar, mangsa tidak dapat mengecam suspek namun memaklumkan lelaki itu berkulit gelap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.- UTUSAN