KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 memberi lebih banyak ‘taring’ kepada agensi tersebut bagi menjalankan penguatkuasaan undang-undang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan dalam masa terdekat itu supaya DBP dapat menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan tiada penyalahgunaan dalam bahasa Melayu.
Katanya, banyak aspek bahasa Melayu ditinggalkan apabila didapati nama taman dan jalan serta tulisan tidak menggunakan bahasa tersebut sedangkan perkara itu menjadi syarat.
“DBP tidak mempunyai kuasa, mungkin tiada kuasa dan tindakan penguatkuasaan, jadi kita mahu akta ini dipinda bagi beri kuasa penguatkuasaan dan tindakan.
“Kita diminta DBP untuk kaji pindaan sebelum dikemukakan kepada Kabinet dan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.
Terdahulu, ketika berucap, beliau memaklumkan arahan telah dikeluarkan agar semua urusan rasmi ke luar negara termasuk surat-menyurat hendak dikeluarkan dalam bahasa Melayu.
Katanya, setiap surat yang dihantar kepada pemimpin negara asing dibuat dalam bahasa Melayu dengan disertakan terjemahan bahasa Inggeris.
“Saya telah memulakan rundingan dalam bahasa Melayu khususnya ketika Sidang ASEAN-AS yang dihadiri Presiden AS. Mesej saya diterima walaupun disampaikan dalam bahasa Melayu,” katanya.
Beliau menegaskan, penggunaan bahasa itu harus digunakan secara meluas termasuk membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.
“Seluruh Keluarga Malaysia terutama penjawat awam seharusnya memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa berkenaan,” katanya. – UTUSAN