PETALING JAYA : Bermula 1 Jun sehingga 31 Januari 2023, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK) hanya menawarkan vaksin kepada kanak-kanak yang baru berusia lima tahun pada atau selepas 31 Mei 2022 melalui Klinik Kesihatan dan klinik swasta yang masih beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ibu bapa yang berhasrat untuk memberi vaksinasi kepada anak yang baru mencapai lima tahun dinasihatkan mendaftar dan membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.
“Selain itu, ibu bapa juga boleh membuat janji temu secara terus di Klinik Kesihatan KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr Noor Azmi, seramai 1,720,411 (48.4 peratus) kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan 1,171,888 (33.0 peratus) telah melengkapkan dua dos sejak dilancarkan pada 3 Februari lalu.
“Adalah dianggarkan 548,523 kanak-kanak akan melengkapkan dos dua mereka selewat-lewatnya 30 Ogos 2022,” katanya yang memaklumkan 31 Mei adalah hari terakhir pemberian Dos 1 PICKids kepada kanak-kanak yang telah mencapai usia lima tahun.- UTUSAN