JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah boleh mula mengadakan perbincangan dan rundingan bagi mencapai persefahaman taktikal dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tidak perlu ada konsep ‘khemah besar’, kerjasama dan manifesto bersama sebaliknya berunding mengatur kerusi untuk bersama-sama menewaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, perbincangan itu perlu mencari jalan yang pragmatik dan praktikal untuk mengelak PH dan PN bertembung sesama sendiri.
“Langkah ini untuk mengelak pertembungan sesama sendiri dalam PRU-15, kesudahannya UMNO dan BN yang menang. Bukan kerana UMNO dan BN kuat tetapi kerana pembangkang berpecah dan berperang sesama sendiri.
“Peraturan mudah boleh diguna pakai untuk berunding mengatur kerusi antara PH dan PN. Kawasan yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang dan bertanding dulu, PH hormati.
“Begitu juga kawasan yang PH menang dan bertanding dulu maka Bersatu dan PN perlu hormati. Mungkin 50 peratus pengagihan kerusi dapat diselesaikan. Kemudian yang bermasalah 50 peratus lagi boleh bincang baik-baik,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN