Pertukaran Ketua Menteri Melaka tidak seharusnya berlaku sekali lagi - ADUN Kota Laksamana - Utusan Malaysia

Pertukaran Ketua Menteri Melaka tidak seharusnya berlaku sekali lagi – ADUN Kota Laksamana

LOW Chee Leong (kiri) bersama Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (tengah) bertemu dengan Sulaiman Md. Ali baru-baru ini bagi menyerahkan memorandum berkenaan masalah banjir yang kerap melanda Banda Hilir, Melaka dan kawasan sekitar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rakyat sudah bosan dengan pergolakan dan perebutan kuasa oleh kepemimpinan kerajaan negeri, meskipun UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah diberi mandat besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana daripada DAP, Low Chee Leong meminta kemelut yang melanda pentadbiran kerajaan negeri dihentikan segera.

Kata beliau, ini kerana pertukaran tampuk kepemimpinan tidak seharusnya berlaku sekali lagi.

“Rakyat tidak berminat sangat dengan pergolakan dan perebutan kuasa antara pemimpin-pemimpin UMNO. Mereka mahukan satu pasukan pentadbiran serta pimpinan yang kukuh dan mantap.

“Hal ini penting kerana kestabilan politik dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan lain-lain sektor khususnya ketika situasi endemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menafikan beliau telah meletak jawatan dan menegaskan ia adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu-gugat kestabilan kerajaan negeri yang diterajuinya selepas PRN Melaka.

Dalam pada itu, Chee Leong mendakwa, pentadbiran Melaka menghadapi sedikit masalah kerana jawatan Ketua Unit Perancang Ekonomi (UPEN) masih kosong dan berlaku penstrukturan besar-besaran ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bagaimanapun Chee Leong memberitahu, beliau dan Pakatan Harapan (PH) tetap menghormati pilihan dan keputusan yang dibuat oleh rakyat.

“Inilah amalan demokrasi yang harus kita patuhi. BN berjaya menubuhkan kerajaan pada PRN lepas dengan majoriti lebih dua per tiga biarpun parti itu hanya mendapat 38 peratus undi secara keseluruhan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya