Penumpang feri cedera kena serpihan cermin tingkap pecah

Penumpang feri cedera kena serpihan cermin tingkap pecah

BEBERAPA penumpang membantu memberi rawatan awal kepada Ahmad Fadzil yang cedera terkena serpihan kaca cermin tingkap feri yang pecah di Langkawi, Kedah, petang ini. - UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Seorang penumpang feri cedera selepas terkena cermin tingkap pengangkutan tersebut yang pecah ketika ditunda di jeti Terminal Feri Penumpang Kuah di sini, petang ini.

Dalam kejadian pada pukul 3.15 petang itu, mangsa, Ahmad Fadzir Izam, 30, yang duduk di tepi tingkap feri itu cedera di tangan kanan dan kepala selepas terkena serpihan kaca cermin tersebut.

Ahmad Fadzir dari Shah Alam, Selangor berkata, cermin tingkap itu pecah apabila  pelampung feri yang menunda feri dinaikinya itu terkena cermin tingkap di tepi tempat duduknya.

Katanya, feri tersebut yang rosak ditunda oleh sebuah feri lain ketika  menghampiri jeti di terminal berkenaan.

“Sebelum kejadian, saya merakam video feri yang dinaiki itu ditunda dan secara tiba-tiba pelampung feri yang melakukan kerja-kerja menunda itu terkena cermin feri yang dinaiki sehingga pecah.

“Saya bernasib baik ketika cermin itu pecah, saya berpaling ke arah rakan saya yang berada  berdekatan,” katanya ketika ditemui di sini petang ini.

Difahamkan lebih 300 penumpang berada di dalam feri tersebut ketika kejadian.

Ahmad yang berkunjung ke Langkawi sejak dua hari lalu memberitahu, dia kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan sejurus selepas turun dari feri berkenaan.

Tambahnya, rakan dan beberapa penumpang lain  juga membantu memberi rawatan awal ketika berada di dalam feri.

“Sepatutnya pihak pengurusan feri mempunyai   prosedur operasi standard (SOP) ketika pengangkutan  itu ditunda untuk keselamatan penumpang ketika feri tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penumpang, Muhammad Ammar Syahmi, 22, dari Jitra berkata, dia menaiki feri tersebut pada pukul 1.30 petang dan dijangka tiba di Terminal Feri Kuala Perlis pukul 2.30 petang.

Bagaimanapun, katanya, selepas lebih 30 minit perjalanan, feri tersebut terpaksa berpatah balik ke Terminal Feri Kuah selepas dipercayai mengalami kerosakan enjin.

“Saya terkejut apabila terdengar cermin pecah tidak jauh dari kerusi tempat saya duduk ketika feri tersebut ditunda apabila menghampiri jeti.

“Suasana menjadi kelam kabut apabila terdapat penumpang cedera terkena serpihan kaca cermin tingkap yang pecah itu,” katanya.

Katanya, pihak pengurusan syarikat feri itu memaklumkan penumpang terlibat akan bertolak semula Kuala Perlis dengan menaiki feri lain pada pukul 8 malam ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya