KUANTAN: Seorang Penolong Pegawai Pertanian di Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Lipis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan RM300.
Ahmad Akmi Mohamad mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibaca di hadapam Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, Ahmad Akmi menerima suapan wang tunai tanpa balasan sebanyak RM200 daripada individu diketahuinya mempunyai hubungan kerja-kerja rasminya sebagai Penolong Pegawai Pertanian di Jakoa daerah Lipis.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah kedai mamak di Tempoyang, Kuala Lipis, kira-kira pukul 4 petang, 5 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh sekali lagi menerima suapan tanpa balasan wang tunai bernilai RM100 melalui mesin deposit tunai berdasarkan perkara dan individu yang sama di Bank CIMB cawangan Mentakab, kira-kira pukul 1 tengah hari pada 7 Januari lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dengan beberapa syarat termasuk perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sehingga perbicaraan kes itu selesai serta menyerahkan dokumen perjalanan.
Mahkamah menetapkan 20 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan pelantikan peguam.- UTUSAN