SEREMBAN: Seorang penjawat awam ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki menyalahgunakan kuasanya sebagai setiausaha jawatan kuasa sebut harga sebuah agensi kerajaan dalam menyediakan beberapa dokumentasi kerja-kerja perkhidmatan melibatkan sebut harga, berjumlah kira-kira RM18,000.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 34 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Seremban di sini, hari ini.
Syed Farid membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas penjawat awam itu bermula hari ini sehingga 31 Mei ini.
Terdahulu, lelaki yang bertugas di Gemas, Negeri Sembilan itu ditahan di rumahnya di Bahau kira-kira pukul 3.45 petang semalam.
Menurut Sumber SPRM, suspek dipercayai menyediakan beberapa dokumentasi kerja-kerja perkhidmatan melibatkan sebut harga yang berjumlah kira-kira RM18,000 yang mana beliau mempunyai kepentingan terhadap syarikat yang dipilih.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN