Penginapan di Pulau Mantanani kembali ‘bernyawa’
Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA BELUD: Selepas dua tahun berhadapan kesukaran akibat pandemik Covid-19, resort penginapan di Pulau Mantanani kembali ‘bernafas’ apabila pengunjung mula membanjiri pulau berkenaan semasa cuti Hari Raya Aidilfitri.
Situasi itu sekali gus membolehkan pengusaha resort mencatatkan tempahan yang paling banyak sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
Penolong Pengurus Eksekutif, Sutera Magellan & Sutera Mantanani Resort, Ho Wei Chan berkata, pada minggu pertama Hari Raya Aidilfitri, tempahan yang diterima hampir penuh dengan pelancong domestik daripada Sarawak dan Semenanjung.
Keadaan itu memberi gambaran industri pelancongan di pulau yang terletak kira-kira 100 kilometer daripada Kota Kinabalu.
“Ini kali pertama sejak pandemik Covid-19, resort ini menerima tempahan pengunjung yang hampir penuh.
“Kami menerima 160 orang pengunjung setiap hari semasa cuti Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, lebih ramai pelancong asing dijangka masuk ke Sabah sebaik sahaja negara China, Korea dan Jepun memberi kelonggaran kepada rakyat mereka melancong.
Justeru, mereka akan pelbagaikan aktiviti di pulau berkenaan agar pelancong dapat menikmati percutian sepanjang berada di situ.
Pada masa ini, mereka mempunyai 70 chalet termasuk vila dan chalet premium yang boleh memuatkan sehingga 210 orang pengunjung secara minimum.
“Kami juga memberi jaminan bahawa pengunjung yang datang ke pulau ini sentiasa berada dalam keadaan selamat. Pulau ini terletak kira-kira 30 hingga 40 minit menaiki bot dari Jeti Rampayan.
“Kawalan keselamatan memantau persekitaran resort ini 24 jam bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin,” katanya.
Jelas beliau, isu keselamatan sering menjadi persoalan pengunjung semasa membuat tempahan untuk menginap di resort tersebut.