Penduduk di beberapa daerah di negeri ini didapati semakin ‘ghairah’ membuka kawasan tanaman ketum yang baharu sebagai persediaan awal sementara menunggu kelulusan kerajaan Pusat memberi kebenaran menanam ketum untuk tujuan eksport dan perubatan.
Mereka yang tidak sabar lagi menunggu kelulusan tersebut telah mula menukar kawasan tanaman kontan dan ladang getah kepada tanaman ketum.
Sementara itu, banyak kawasan tanaman padi terutama di Jerlun, Kubang Pasu juga telah ditanam dengan pokok ketum.
Antara daerah lain yang mempunyai banyak kawasan baharu yang ditukar dengan pokok ketum terletak di daerah Padang Terap, Pendang dan Baling.
Malah, pengumuman kerajaan Thailand mengeluarkan ketum daripada senarai dadah berbahaya, sekali gus membolehkannya digunakan secara terbuka di negara itu pada Ogos tahun lalu telah mula menarik minat penduduk di negeri menanam pokok tersebut.
Malah, pendapatan hasil jualan daun ketum atau dikenali sebagai ‘emas hijau’ yang diusahakan oleh petani terlibat didapati lebih lumayan berbanding tanaman kontan dan getah.
Berdasar rekod sebelum ini, jumlah keluasan tanaman ketum di seluruh Kedah dianggarkan kira-kira 140 hektar melibatkan 84,577 batang pokok.
Jumlah petani yang terlibat dalam tanaman pokok ketum itu pula seramai 177 petani.
Daerah Padang Terap merekodkan kawasan paling luas iaitu 94.36 hektar hektar, Pendang (30.5 hektar), Sik (7.2 hektar) dan Baling (3.7 hektar).
Bagaimana keluasan tanaman ‘emas hijau’ itu yang dikatakan semakin luas dibimbangi boleh mengancam kawasan sawah padi yang semakin terhad berikutan pembangunan yang semakin rancak di negeri itu sebelum ini.
Selain itu, kawasan-kawasan baharu tanaman ketum itu dibuka secara terbuka di tepi jalan utama dan petani berani mengusahakan tanaman ketum di kawasan lebih luas kerana tidak menyalahi undang-undang kecuali memiliki daun yang telah dipetik dan air ketum.
Banyak pihak percaya negeri Kedah yang dikenali sebagai ‘Jelapang Padi’ selepas ini akan bertukar menjadi ‘Jelapang Ketum’ sekiranya pihak berkuasa tidak mengawal tanaman ketum dari peringkat awal ini.
Pada masa ini, jumlah keluasan tanaman padi yang di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ialah seluas 100,685 hektar. Daripada jumlah keluasan tersebut, seluas 20,073 hektar meliputi negeri Perlis.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini memberitahu, kerajaan tetap akan berusaha mendapatkan kebenaran melakukan aktiviti mengeksport daun ketum ke Thailand secara sah daripada Kerajaan Persekutuan.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak cadangan membenarkan daun ketum dari negara ini, dieksport ke Thailand.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, KDN menolak cadangan itu kerana meenyalahi Akta Racun 1952. –UTUSAN
bELIAU berkaya , Kertas cadangan permohonan eksport ketum sudah pun siap- UTUSAN