Penduduk bimbang cerun bukit berisiko tanah runtuh

Penduduk bimbang cerun bukit berisiko tanah runtuh

PEMANDANGAN udara kawasan bukit yang ditutup dengan kanvas sejak tahun 2019 dalam tinjauan kawasan berisiko tanah runtuh di Taman Wangsa Cheras, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemilikan tanah persendirian yang tidak diselenggara menyebabkan cerun bukit di Taman Wangsa Cheras, dekat sini semakin berbahaya malah menimbulkan keresahan bagi penduduk  di kawasan tersebut.  

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, cerun itu hanya ditutup kain kanvas bagi mengelakkan pergerakan tanah terutama semasa waktu hujan sejak 2019 dan baru-baru ini, digantikan dengan kain kanvas yang baharu selepas didesak oleh Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Farhan Haziq Mohamed. 

FARHAN HAZIQ MOHAMED

Farhan Haziq berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada penduduk namun tidak dapat mengambil tindakan selanjutnya kerana isu pemilikan tanah.

“Kami mendapati tanah ini adalah milik sebuah syarikat namun ia telah muflis dan kemudian dibeli oleh syarikat lain pula. 

“Namun, apabila kami menghubungi syarikat itu, katanya mereka sudah beli tanah ini namun belum didaftarkan. Kita mahukan mereka untuk bertanggungjawab. 

“Kita mengambil iktibar daripada insiden Taman Bukit Permai dan mahu pemilik tanah ini mengambil tindakan sewajarnya kerana nyawa penduduk kini dalam bahaya,” jelasnya. 

Terdapat antara 10 hingga 12 buah rumah yang kini berisiko sekiranya berlaku tanah runtuh di kawasan itu. Lebih membimbangkan apabila jarak antara rumah dan cerun tersebut hanya sekitar lima meter. 


FARHAN Haziq Mohamed (kanan) menjelaskan sesuatu kepada wartawan Utusan Malaysia, Zareen Humairah Sejahan dalam tinjauan kawasan berisiko tanah runtuh di Taman Wangsa Cheras, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mok Lang, 80 yang merupakan penduduk di taman itu berkata, dia berasa risau setiap kali hujan lebat. 

“Saya tinggal sini bersama keluarga dan cucu yang masih kecil. Cuaca susah diramal kebelakangan ini, jadi apabila berlaku hujan lebat, saya mengambil payung dan keluar rumah untuk periksa jika ada sebarang pergerakan tanah. 

“Kami hidup dalam ketakutan. Beberapa penduduk lain sudah pun berpindah kerana terlalu takut tetapi untuk saya tidak mempunyai pilihan,” katanya. 


KELIHATAN rumah yang ditinggalkan oleh pemilik berikutan bimbang risiko kejadian tanah runtuh di Taman Wangsa Cheras, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Selangor dilapor mengenal pasti lebih 150 cerun yang berisiko tinggi untuk berlaku tanah runtuh terutama sekitar Gombak, Ampang dan Hulu Langat namun cerun bukit di Taman Wangsa Cheras itu tidak termasuk.

Bagi Kok Zi Yi, 22, yang juga merupakan penduduk di situ pula berkongsi cerita satu kejadian ketika hujan lebat yang menyebabkan berlaku gelinciran kecil tanah cerun itu. 

“Hujan lebat dan kami dengar bunyi seperti sesuatu jatuh dan apabila kami keluar, kami lihat air yang mengalir di dalam longkang adalah air tanah merah. 

“Ketika itu kami menjadi sangat takut kerana warna air itu menunjukkan berlaku pergerakan tanah dan untuk menjamin keselamatan, kami hanya duduk di dalam kereta menunggu hujan reda,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya