MELAKA: Para pendidik perlu menjiwai dan memahami konteks Sekolah Sejahtera agar elemen-elemen murni yang diterapkan dapat mewujudkan nilai dalam diri pelajar.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, penghayatan itu juga mampu menjadikan sekolah sebagai sebuah institusi selamat dan membentuk emosi positif seterusnya meningkatkan kesejahteraan diri pelajar.
Jelas beliau, akronim SEJAHTERA menggabungkan 14 elemen nilai murni antaranya selamat, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, eksplorasi, rasional dan artikulasi.
“Penjiwaan amalan baik adalah pembudayaan nilai murni, kemahiran dan sikap positif yang dibangunkan dalam diri murid.
“Peranan guru adalah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang bukan sahaja kondusif, tetapi dalam masa sama menerapkan 14 elemen SEJAHTERA di dalam atau luar kelas untuk dijadikan amalan dalam kehidupan murid.
“Hal ini penting agar penghayatan nilai-nilai murni ini dalam kalangan murid tidak terhakis,” katanya dalam ucapan perasmian sempena Sambutan Hari Guru 2022 peringkat negeri di sini, semalam. – UTUSAN