Pendakwaan tutup kes rasuah Bung Moktar lepas panggil 30 saksi

Pendakwaan tutup kes rasuah Bung Moktar lepas panggil 30 saksi

BUNG Moktar Radin bersama Zizie Izzete ketika hadir di Mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini. - UTUSAN/MOHD FIRDAUS MOHD JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Perbicaraan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad berhubung pelaburan RM150 juta Felcra dalam unit amanah, ditutup hari ini.

Perkara itu ditetapkan selepas Mahkamah Sesyen di sini selesai mendengar keterangan 30 saksi pendakwaan yang mana saksi terakhir ialah Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsharil Saharom, 37.

Hakim Rozina Ayob memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 17 Jun ini manakala mahkamah menetapkan 24 Jun untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan, sebelum memutuskan sama ada Bung Moktar dan isterinya, Zizie Izette dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintah membela diri.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How ketika menutup kes memaklumkan, pihaknya menawarkan lapan saksi pendakwaan kepada pihak pembelaan antaranya Pegawai Felcra, Mariah Husain; Ahli Lembaga Pengarah Felcra, Ismail Kasim; kerani Public Bank Cawangan Taman Melawati, Nor Azreen Rosli dan Pegawai Forensik SPRM Badri Azni.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan turut diwakili oleh  Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Mohd. Sophian Zakaria  manakala Bung Moktar dan isterinya diwakili peguam-peguam Datuk K. Kumaraendran, M. Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Kumaraendran memaklumkan pihaknya tidak memerlukan saksi-saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan itu pada masa ini. Mahkamah kemudian memutuskan kesemua saksi-saksi yang ditawarkan tidak diperlukan oleh pihak pembelaan.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula 2 Januari 2020 ialah bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra, Dr Habibah Suleiman serta dua ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa kedua-dua perunding unit amanah itu tidak diugut, dipaksa atau dijanjikan apa-apa semasa sesi rakaman percakapan dikendalikan oleh SPRM ketika siasatan berhubung kes rasuah tersebut.

Rakaman percakapan terhadap Norhaili dan Madhi dilakukan di bilik bawah tanah di  Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 2016 dan 2018.

Pengawai perakam SPRM, Hazlina Rahmat, 41, berkata sepanjang rakaman percakapan pada 2016,  Norhaili berada dalam keadaan sangat baik, sihat, peramah dan tidak pernah mengadu apa-apa kepadanya.

Ketika pemeriksaan utama oleh Chin How,  sepanjang sesi rakaman percakapan diambil dari Norhaili, Hazlina ditanya adakah ejen pelaburan itu dibenarkan makan, minum, berehat dan solat.

Beliau menjawab “Ya, dibenarkan saya sendiri yang temani Norhaili untuk solat di surau”.

Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa individu yang pertama kali masuk ke bilik itu akan berasa sedikit takut.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-29, Penolong Penguasa SPRM Saiful Amir Hamzah, 33, berkata keadaan bilik rakaman percakapan Norhaili pada 2018 adalah selesa namun tidak bertingkap dan hanya mempunyai satu pintu.

Ketika ditanya Mohd. Sophian sama ada Madhi berada dalam ketakutan dan gelisah, Norsharil berkata tidak ada sama sekali malah membenarkan saksi itu solat dan keluar masuk dari bilik rakaman percakapan.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya