KLANG: Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel antara dua lori dan terbakar di Jalan Keretapi Lama, Kapar, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu, lelaki berusia lingkungan 20-an berkenaan terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 5.44 petang.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan enam anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar.
“Setibanya di lokasi, sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda didapati terbakar akibat bergesel antara dua lori dari arah bertentangan.
“Mangsa yang terjatuh disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Norazam, motosikal itu melibatkan 90 peratus kebakaran dan berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit.
“Pemeriksaan mendapati tubuh mangsa tidak mengalami kesan terbakar. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh di sekitar kawasan itu dan operasi ditamatkan pukul 6.38 petang. – UTUSAN