KEMAMAN: Demi meraih perhatian dan pengikut di laman sosial TikTok, seorang pemuda sanggup membahayakan diri dengan naik ke atas bumbung sebuah pasar raya empat tingkat di Chukai, di sini.
Perbuatan pemuda itu disedari pengunjung premis berkenaan di samping mereka yang berada di Hospital Kemaman, yang terletak bertentangan.
Malangnya, kerisauan orang awam seolah-olah tidak bermakna apabila pemuda berkenaan bergelak ketawa sambil merekod video TikTok.
Tindakan pemuda itu mendapat kecaman ramai selepas video berkenaan dimuat naik menerusi akaun TikTok miliknya, @sapimonyanyooo dua hari lalu.
Rata-rata netizen menyifatkan tindakan itu seperti mempermainkan pasukan penyelamat apabila beberapa anggota bomba dan polis dilihat menunggu serta mencari pemuda berkenaan untuk diselamatkan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Mohd. Hasbullah Halipah kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu berkenaan yang bukan sahaja mengundang bahaya, malah menyusahkan pasukan penyelamat.
Katanya, kejadian itu berlaku pada 19 Mac lalu selepas menerima aduan mengenai cubaan membunuh diri susulan tindakan pemuda tersebut berdiri di bahagian atas pasar raya.
“Bagaimanapun, selepas enam anggota bomba dan pasukan polis tiba, kami cuba mencari individu itu untuk diselamatkan, namun dia sudah melarikan diri,” katanya ketika dihubungi.
Sehubungan itu, Mohd. Hasbullah menggesa pemuda berkenaan hadir ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman untuk memberi penjelasan. – UTUSAN